SHAH ALAM: Pemasangan stesen atau alat pengecas kenderaan elektrik (EV) di perumahan bertingkat seperti kondominium atau apartmen tertakluk kepada permintaan dan kemampuan bekalan elektrik bagi penyediaan kemudahan itu.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, selain itu garis panduan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pemasangan alat pengecas di perumahan sedemikian.
Katanya, lebih 100 syarikat atau pelabur mengemukakan cadangan-cadangan bagi pemasangan alat pengecas sama ada di ruang parkir atau pada bangunan perumahan.
“Tetapi, bagi bangunan lama, ada kemungkinan bekalan elektrik tidak mencukupi, ia berbeza. Bagi on the street parking, memang dalam perancangan untuk melaksanakan dengan kaedah lebih mudah.
“Dengan itu, kerajaan negeri melantik syarikat Worldwide Holdings Berhad sebagai penyelaras kepada charging point operator. Jadi, itu memudahkan pelabur yang berminat untuk memasang charging point di setiap PBT,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang membangkitkan masalah hak untuk mengecas dalam bangunan susulan kebanyakan kondominium tidak membenarkan pemasangan stesen pengecas EV.
Terdahulu, Pang Sock Tao (PH-Kuala Kubu Baharu) mengemukakan pertanyaan dalam sesi soal jawab berhubung galakan bagi penambahan stesen pengecas EV di negeri ini apabila hanya terdapat 16 stesen di Hulu Selangor.
Selain itu, Sze Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara memberitahu, kerajaan negeri meletakkan sasaran pemasangan sebanyak 4,000 stesen pengecas EV menjelang 2030 berbanding 1,090 ketika ini.
“Bagi merancakkan industri EV, kerajaan negeri melalui PBT mengambil inisiatif untuk menjadikan pemasangan rangkaian infrastruktur pengecas EV sebagai salah satu syarat bagi pembangunan baharu semasa permohonan Kebenaran Merancang (KM).
“Ia selaras dengan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan (EVCB) yang disediakan oleh pihak PLANMalaysia. Dalam masa yang sama, PBT juga sedang dalam proses mengenal pasti lokasi-lokasi yang sesuai di bawah seliaan PBT untuk cadangan pemasangan pengecas EV kelak,” ujarnya. – UTUSAN










