TUMPAT: Penguatkuasaan penuh larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing di kawasan sempadan negeri ini bermula hari ini menyaksikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan pengusaha stesen minyak, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan mengekang ketirisan subsidi.
Tinjauan mendapati rata-rata pengusaha mengambil langkah proaktif dengan memberi taklimat kepada pekerja selain memperketat pemantauan di pam minyak bagi memastikan peraturan dipatuhi sepenuhnya.
Pengusaha stesen minyak, Ku Muhamad Farid Aidil Ku Din, 33, berkata beliau telah mengingatkan semua kakitangan agar tidak menjual RON95 kepada kenderaan asing.
“Jumlah kenderaan asing yang mengisi minyak di stesen ini tidak tinggi, sekitar 10 buah sebulan, namun pematuhan tetap dilaksanakan secara tegas.
“Kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi RON97, manakala diesel pula dihadkan kepada 20 liter sahaja,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama pengamal media di stesen minyak miliknya di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, di sini hari ini.
Seorang pengguna, Mahadi Mohd. Nor, 53, menyambut baik tindakan tersebut dan berharap pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan tiada ketirisan berlaku.
“Jika ada yang mengambil kesempatan menyeludup minyak ke Thailand, ia merugikan negara dan rakyat sendiri.
“Bekalan cepat susut, akhirnya kita juga terkesan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa bermula 1 April ini, tindakan penguatkuasaan terhadap larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing akan melibatkan pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan.
Berbanding sebelum ini, kesalahan pembelian dan penjualan petrol RON95 hanya dikuatkuasakan kepada pengusaha stesen minyak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata langkah itu merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada bagi membanteras ketirisan subsidi bahan api.
Katanya, penguatkuasaan diperkasa melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu, khususnya di kawasan sempadan.-UTUSAN










