MB Perlis tidak takut dijatuhkan

MB Perlis tidak takut dijatuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menegaskan penangguhan sidang Dewan Un­­dangan Negeri (DUN) ne­geri itu yang dijadualkan dari esok hingga Khamis ini langsung ti­dak berkait dengan dakwaan beliau gentar dijatuhkan.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa keputusan menangguhkan sidang tersebut bukan berada di bawah kuasa mutlak Menteri Besar sebaliknya dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.

Menurutnya, tarikh baharu sidang DUN akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sambil memberi jaminan bahawa ia tetap mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

“Perlu juga diingat, jangka masa untuk diadakan sidang DUN baharu adalah dalam tempoh tidak melebihi enam bulan daripada persidangan terdahu­lu. Sidang DUN sebelum ini adalah pada Disember lalu dan ia sehingga Jun ini.

“Apa juga berlaku, ia tidak akan melebihi tempoh enam bu­lan tersebut. Jadi, tidak ada sebab dan sama sekali tidak berasas kononnya saya takut dengan bayang-bayang sendiri atau takut akan dijatuhkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang disifatkan mereka tidak pernah berlaku sebelum ini.

Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

Wakil rakyat dari Pas itu turut mengingatkan Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis supaya tidak takut dengan bayang-bayang sendiri kononnya bakal berlaku undi tidak percaya terhadap beliau di dalam sidang DUN berkenaan.

Mohd. Shukri berkata, Abu Bakar perlu mempunyai keyakinan dan kepercayaan dengan pendirian Pas sebelum ini yang menyokong pentadbiran kera­jaan negeri meskipun wakil rakyat Pas menolak jawatan Exco.

Kata bekas Menteri Besar itu, Abu Bakar tidak perlu takut dengan undi tidak percaya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, beliau tidak kisah sekiranya ada cubaan daripada wakil rakyat Pas tersebut cuba menjatuhkannya.

“Terpulang, terserahlah kepada mereka. Saya akan te­rus melaksanakan tugas demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya.

Sidang DUN tersebut sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember lalu yang menyaksikan Mohd. Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Krisis tercetus selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) iaitu tiga dari Pas dan lima dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mengemukakan akuan bersumpah mena­rik sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melihat terdapat kewajaran untuk kerajaan negeri memberikan penjelasan berikutan penangguhan sidang DUN itu kerana surat makluman telah pun dihantar.

Beliau berkata, penjelasan itu perlu supaya tidak menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat sehingga mungkin ada yang mendakwa hubungan dalam PN sekali lagi bergoyang.

“Kerajaan negeri wajar memberi penjelasan di atas penangguhan tersebut, kerana surat makluman sudah dihantar dan semua pihak telah bersedia.

“Bagi saya permohonan ini wajar, bukan kerana hubungan Pas dan Bersatu yang dilihat ada masalah. Namun ia satu keperluan bagi menjelaskan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN