ARAU: Kisah kejayaan Nur Diana Zahirah Yusni,18, anak seorang nelayan mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datin Marzita Mansor yang melawat remaja berkenaan di jeti nelayan, Kampung Sanglang di sini hari ini.
Marzita menzahirkan rasa kagum dengan kegigihan remaja berkenaan, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan namun tidak menggangu tumpuannya untuk berjaya dalam pelajaran, sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain dari sekolah luar bandar.
Nur Diana menjadi pelajar pertama dalam sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang yang terletak di pinggir bandar itu mendapat keputusan semua A.
Dalam kunjungan itu, Marzita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena turut menyampaikan sumbangan serta mengucapkan tahniah kepada Nur Diana yang memaklumkan bercita-cita menjadi seorang guru.
Selain itu, Marzita juga memaklumkan akan melihat keperluan dalam membantu memudahkan urusan remaja berkenaan yang bakal menyambung pelajaran selepas ini.
Sementara itu, Nur Diana berkata, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan namun ia tidak menghalangnya berjaya selain kepayahan keluarga menjadi pemangkin semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya di masa depan seterusnya membantu mengubah nasib keluarga. Saya melihat sendiri bagaimana kepayahan ayah keluar awal pagi dan pulang keesokan hari bagi mencari rezeki dengan turun ke laut untuk menangkap ikan,” katanya.
Dalam pada itu, Marzita turut meluangkan masa melawat seorang lagi calon cemerlang SPM dari sekolah luar bandar di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di sini.

Ho Xin Rou dari SMK Syed Saffi yang tinggal bersama ibu saudaranya memperoleh keputusan 10A dalam SPM yang diumumkan semalam.
Xin Rou berkata, dia berhasrat menyambung pengajian di Tingkatan Enam sebelum meneruskan impian ke menara gading dalam bidang pendidikan, sekali gus merealisasikan cita-citanya bergelar seorang pendidik.
“Saya sama sekali tidak sangka akan dapat 10A dalam SPM memandangkan sasaran awal adalah memperoleh 6A. Kejayaan ini saya hadiah buat ibu dan ibu saudara saya yang membesarkan saya sejak usia lapan tahun,” katanya.-UTUSAN










