KOTA BHARU: Kerajaan akan meneliti cadangan menambah baik pakaian lokap wanita muslim agar lebih menepati tuntutan syariah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan, soal aurat tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
“Aurat adalah hukum wajib. Walau dalam situasi terdesak sekalipun, syariat Allah perlu dipertahankan dan ditegakkan. Insya-Allah perkara ini akan dibincangkan bersama agensi berkaitan.
“Hal ini kerana perkara itu melibatkan bidang kuasa berbeza antara kementerian. Jadi saya tidak boleh mendahului menteri,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pelajar tadika yang menyertai kursus haji cilik di Masjid Jamek Muhammadi di sini hari ini.
Terdahulu, isu aurat menjadi perdebatan hangat apabila warganet mempersoalkan pakaian lokap seorang guru yang direman bagi membantu siasatan kes pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini yang maut dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan surau pada 12 April lalu.
Kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan dipercayai berpunca daripada pemandu SUV yang tertekan pedal minyak lalu terbabas sebelum merempuh mangsa.
Kejadian pukul 1.50 petang itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan.-UTUSAN










