PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan langkah tambahan bagi meringan beban rakyat termasuk menaikkan bantuan kepada pengguna diesel di samping menambah insentif membajak sawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membabitkan tiga ikhtiar iaitu BUDI Agri-Komoditi, BUDI Diesel Individu dan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP).
Katanya, ia membabitkan kos keseluruhan RM75 juta dengan IPKP diberikan tambahan dana sekitar RM40 juta bagi musim penanaman 2026 yang bakal memanfaatkan 200,000 pesawah yang sebahagiannya akan memulakan penanaman padi pada bulan ini.
“Ini adalah sebagai bantuan tambahan, (kerana) tahun lalu juga, kerajaan memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input,” katanya dalam kenyataan semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan tunai diesel ditingkatkan bagi Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan yang akan disalurkan pada 21 April ini iaitu kali kedua dinaikkan susulan krisis tenaga disebabkan konflik di Asia Barat.
BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.
Manakala BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia, dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk memudah cara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan dengan syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan.
Jelasnya, pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.
Katanya, kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan sentiasa meneliti langkah-langkah perlu bagi membantu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, ia perlu mengambil kira kekangan yang dihadapi kerajaan ketika ini memandangkan Malaysia bukan seperti sesetengah negara kaya yang mempunyai lebihan tunai yang besar.
“Kita masih mempunyai hutang (debt to service) sebanyak RM1.5 trilion. Jadi semua ini perlu diambil kira,” katanya.-UTUSAN.










