Kemudahan bas masuk sekolah demi keselamatan pelajar - Nik Mohd. Ridzuan - Utusan Malaysia

Kemudahan bas masuk sekolah demi keselamatan pelajar – Nik Mohd. Ridzuan

NIK Mohamad Ridzuan Kamaruddin (kiri) menyatakan sesuatu kepada Razali Kassim (tengah) ketika melakukan tinjauan laluan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Baging, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kemudahan masuk sehingga ke pekarangan sekolah bukan suatu kemewahan, tetapi keperluan demi keselamatan nyawa dan keselesaan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging di sini.

Itulah penegasan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin yang menyambut baik penyelesaian segera isu perkhidmatan Bas.My di sekolah itu selepas lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim semalam.

Beliau berkata, penyelesaian segera terhadap isu tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keselamatan dan kebajikan pelajar di sekolah berkenaan.

“Alhamdulillah, hasil pertemuan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pengusaha Bas.My, pihak sekolah, Bahagian Pengurusan Sekolah (BPEN)  serta kepimpinan masyarakat setempat telah mencapai keputusan positif,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, isu pelajar terpaksa berjalan hampir 500 meter ke hentian bas akhirnya menemui penyelesaian apabila Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meluluskan kebenaran kepada perkhidmatan Bas.My untuk memasuki kawasan SMK Sungai Baging.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha proaktif dalam memastikan keselamatan serta keselesaan pelajar, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu dan risiko keselamatan di laluan terbabit.

Razali dilaporkan berkata, isu berkenaan dibangkitkan oleh orang awam menerusi media sosial berhubung kesukaran pelajar yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan bas.

Dalam pada itu, Nik Mohd. Ridzuan berkata, pihak Polis Balai Cherating turut memaklumkan isu simpang masuk ke sekolah berkenaan yang berisiko tinggi ketika waktu puncak.

“Insya-Allah perkara ini akan dibawa kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sekali lagi untuk meneliti keperluan teknikal kerana keadaan tersebut jelas membahayakan.

“Saya memandang serius perkara ini. Kita tidak mahu menunggu sehingga berlakunya kejadian yang tidak diingini barulah tindakan diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN