Jualan AUM Perak cecah RM6.05j

Jualan AUM Perak cecah RM6.05j

AHMAD Ariff Abu Bakar (enam dari kanan) bersama lima penerima anugerah pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan AUM Perak di Ipoh kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POH: Program Agrobank Upward Migration (AUM) terus memperlihatkan impak positif apabila sebanyak 27 syarikat di Perak mencatat peningkatan hasil jualan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM6.05 juta bagi tahun 2025.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pencapaian prestasi jualan itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program AUM dalam meningkatkan daya saing dan memperkukuh kapasiti perniagaan usahawan tempatan.

“Program ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat apabila 11 syarikat berjaya mengembangkan operasi serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada komuniti,” katanya sempena Majlis Aspirasi Kecemerlangan AUM Perak, di sini kelmarin.

Turut hadir pada majlis yang bertujuan meraikan kejayaan usahawan tempatan di bawah AUM yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) ialah Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Ahmad Ariff Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Mohd. Azhar Mohd Yusof.

Tambah Tengku Ahmad Badli Shah, program AUM di Perak melibatkan seramai 41 usahawan yang diraikan atas pencapaian cemerlang sepanjang tempoh program.

Katanya, lima syarikat turut diiktiraf kerana mencatat pencapaian terbaik dalam pelbagai kategori antaranya peningkatan jualan, pengembangan perniagaan, penciptaan pekerjaan, penambahan kapasiti (teknologi) dan penambahan kapasiti (pembiayaan).

“Melalui bimbingan berstruktur dan sokongan berterusan Agrobank, seramai enam syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah RM319,000 menerusi program AUM,” katanya.

“Hasil daripada bimbingan, para usahawan telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan, dengan jualan terkumpul sebanyak 211 peratus bersamaan RM1.6 juta, berbanding sebelum menyertai program ini,” katanya.

Pada program tersebut, Kak Leena Kitchen Enterprise menerima Anugerah Peningkatan Jualan manakala Gazebo Abg Nash pula merangkul Anugerah Pengembangan Perniagaan.

Selain itu, Anugerah Penciptaan Pekerjaan disampaikan kepada Sinar Myna Enterprise, diikuti Wajba Agro & Retreat Sdn. Bhd. yang menerima Anugerah Penambahan Kapasiti (Teknologi) serta Arrayyan Niaga bagi Anugerah Penambahan Kapasiti (Pembiayaan).

Pengasas Kak Leena Kitchen Enterprise, Roslina Omar, 38, berkata, bimbingan dan sokongan yang diperoleh melalui program AUM berjaya melonjakkan jualan perniagaannya melebihi 50 peratus.

Katanya, penglibatan dalam program tersebut bermula pada 2025 apabila dia mencuba nasib untuk mengembangkan perniagaan bersama Agrobank.

“Saya diberi peluang menyertai pelbagai program dan acara yang banyak membantu meningkatkan jualan. Pendedahan kepada strategi pemasaran termasuk penggunaan media sosial secara lebih agresif turut membantu peningkatan itu,” katanya.

Tambahnya, kini perniagaannya mencatatkan jualan mencecah RM553,000, sekali gus membuktikan keberkesanan program berkenaan dalam membantu usahawan memperkembangkan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN