KOTA BHARU: Seorang guru direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut dirempuh di kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini semalam.
Perintah reman terhadap wanita berusia 57 tahun yang bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum itu, wanita yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tertekan pedal minyak lalu terbabas sebelum merempuh mangsa.
Kejadian pukul 1.50 petang itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan yang dipandu seorang wanita berada di dalam kawasan sekolah.
Katanya, wanita berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas ke depan sehingga terlanggar dua orang pelajar perempuan.-UTUSAN










