KOTA BHARU: Lonjakan luar biasa harga diesel global ketika ini menyaksikan kerajaan terpaksa menanggung subsidi berjumlah RM2.2 bilion pada bulan lalu melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, peningkatan tiga kali ganda daripada RM700 juta sebulan kepada RM2.2 bilion itu memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
“Sebagai contoh, harga diesel dunia pada 26 Februari lalu adalah AS$93 (RM374) setong berbanding AS$239 (RM963) setong pada Mac lalu. Peningkatan itu melibatkan lonjakan harga mencecah 158 peratus.
“Kesannya, perbelanjaan SKDS diunjurkan mencecah RM2.2 bilion sebulan. Sebelum ini, kerajaan membelanjakan sebanyak RM3.45 bilion untuk SKDS sepanjang tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada pemborong barang kawalan dan pengusaha stesen minyak di sebuah hotel di sini hari ini.
Armizan berkata, pelaksanaan SKDS melibatkan 33 jenis kenderaan di bawah dua kluster utama, iaitu 10 jenis kenderaan sektor pengangkutan awam darat dan 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan barangan.
Katanya, setakat ini kadar subsidi bagi sektor pengangkutan awam darat ialah RM1.88 seliter, manakala sektor pengangkutan barangan sebanyak RM2.15 seliter.
“Sehingga 30 Mac lalu, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti melibatkan 368,911 kenderaan telah diluluskan di bawah SKDS di seluruh negara.
“Selain itu, subsidi petrol di seluruh negara ketika ini diunjurkan sebanyak RM3.3 bilion sebulan, manakala keseluruhan subsidi tenaga mencecah RM7 bilion sebulan,” ujarnya.-UTUSAN










