Cakna kehendak rakyat, UMNO mampu tawan semula Perlis - Utusan Malaysia

Cakna kehendak rakyat, UMNO mampu tawan semula Perlis

FIRDAUS ABD. RAZAK.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO mampu merampas semula negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan menambah baik strategi parti itu dan menumpukan terhadap kehendak pengundi khususnya anak muda.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kangar, Firdaus Abd Razak berkata, parti itu perlu lebih cakna dengan kehendak rakyat sekiranya ingin mendapatkan sokongan daripada peringkat akar umbi.

Katanya, berdasarkan kepada data dan momentum terkini, UMNO dilihat tidak mustahil untuk menawan semula Perlis sekali gus mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

“Daripada segi momentum hari ini, UMNO memang bekerja keras di semua peringkat khususnya dengan idea-idea baharu bagi menarik sokongan pengundi dan bukannya sekadar retorik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan (Empat Peringkat) UMNO Bahagian Kangar di Hotel Putra Regency, di sini, hari ini.

Pada PRU15, UMNO atau Barisan Nasional (BN) berdepan kekalahan besar di negeri ini termasuk gagal memenangi mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih kerajaan negeri ini selepas lebih 60 tahun.

Firdaus berkata, parti itu telah menunjukkan perubahan akar umbi dan jentera di mana gerak kerja berbeza turut ditonjolkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Jadi menjelang pilihan raya nanti kita lihat UMNO juga akan bawa strategi-strategi baharu contohnya lebih dekat dengan pengundi, mendalami permasalahan mereka, kehendak akar umbi dan penganjuran program yang ‘low cost, high impact’,” katanya.

Katanya, UMNO juga tidak lagi mahu melaksanakan program yang tidak memberi manfaat buat rakyat dan akan menumpukan kepada golongan B40 serta anak muda.

“Kita tak nak lagi program syok sendiri yang tak beri manfaat dan akan lebih memberi fokus kepada apa kehendak akar umbi khususnya anak muda,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN