ARAU: Banjir besar di Perlis ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November lalu memberi cabaran besar kepada kebanyakkan calon yang sekolah mereka terjejas teruk dengan bencana tersebut.
Bagi lima sahabat dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah di sini, cabaran berdepan banjir sehingga paras dada di sekolah berkenaan tidak mematahkan semangat mereka yang akhirnya berjaya memperolehi keputusan cemerlang 9A dan 10A dalam keputusan SPM diumumkan semalam.
Lima sahabat tersebut, Nur Aqila Iffahdini Mohamad Anwar memperolehi 9A: Qurratu Ainil Mardhiyyah Ibrahim (10A); Safiyyah Hilwani Sabry (10A); Ainul Mardhiah Mohamad Khairi (10A) dan Nur Aqilah Zurazman (9A).
Berkongsi cabaran tersebut, Nur Aqila berkata, pada hari pertama peperiksaan, dia dan calon-calon lain terpaksa menaiki bot untuk ke dewan peperiksaan di tingkat satu sekolah itu sebelum berpindah ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad.
Katanya, meskipun berada dalam keadaan tidak selesa dan sejuk namun ia bukan halangan untuk mereka berusaha sepanjang menduduki peperiksaan penting itu.
Nur Aqila berkata, mereka terpaksa mengulang kaji pelajaran sendiri selepas kelas tambahan dibatalkan ekoran kelas dinaiki air sehingga paras dada.
“Sepanjang banjir dan peperiksaan, kami juga tidak mempunyai telefon manakala kemudahan telefon awam di sekolah pula rosak menyebabkan kami tidak dapat berbual dengan ibu bapa bagi mendapatkan semangat.
“Minggu pertama peperiksaan ketika banjir, kami sememangnya berdepan kepayahan, asrama, kelas semua dinaiki air. Kami menjawab soalan dengan selebihnya terserah kepada ketentuan Ilahi. Alhamdulilah, meskipun berdepan kepayahan namun kami akhirnya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sahabatnya, Nur Aqilah yang turut memperoleh keputusan 9A berkata, banjir besar melanda Perlis pada November tahun lalu disifatkan paling teruk yang memberi kesan kepada sekolah.
Katanya, bagaimanapun, para pelajar ketika itu menguatkan semangat menduduki peperiksaan tersebut selain tidak pernah berputus asa.
“Kami menumpang asrama sekolah lain dan menduduki peperiksaan di tempat lain dalam tempoh seminggu banjir itu. Meskipun tidak selesa namun kami berjaya melaluinya,” katanya.
Ainul Mardhiah yang memperoleh keputusan 10A berkata, dia mengulang kaji pelajaran sendirian sehingga lewat malam pada setiap hari.
“Peperiksaan percubaan sebelum ini saya mendapat 8A dan Alhamdulilah, SPM saya berjaya mendapat 10A. Menduduki peperiksaan ketika banjir merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan,” katanya.-UTUSAN










