KANGAR: Di usia 61 tahun, Hamidan Yahya masih berkeupayaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian untuk tempoh empat tahun berturut-turut dari 2022.
Pada SPM 2025, pesara kerajaan itu berjaya memperoleh keputusan B bagi mata pelajaran Matematik dan C+ untuk subjek Sains sekali gus membuktikan warga emas tersebut masih mempunyai ketajaman akal fikiran.
Hamidan yang pernah bertugas sebagai pemandu awam di Kem 504 Askar Wataniah, Chuping berkata, dia sudah beberapa kali menduduki peperiksaan subjek Matematik yang bertujuan bagi menguji kemampuan akal fikiran khususnya dalam menyelesaikan sesuatu formula.
Katanya, ketika menduduki SPM pada 1982, dia hanya mendapat keputusan lulus subjek itu.
“Pada asalnya, saya mendaftar sebagai calon persendirian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Fauziah, namun terpaksa menumpang di SMK Syed Sirajuddin berikutan laluan terputus akibat banjir.
“Keputusan menduduki peperiksaan itu adalah disebabkan minat selain untuk menguji tahap keupayaan minda serta mencabar diri dalam usia seperti ini.
“Saya membesar sebagai anak yatim sejak tingkatan satu. Sejak dari dulu saya melakukan pelbagai kerja demi mencari wang untuk ke sekolah sehingga kerap kali tercicir ke sekolah akibat masalah kemiskinan dan kewangan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kejayaan tersebut juga cukup bermakna buat bapa kepada lima anak serta datuk kepada tiga cucu itu kerana tiga hari sebelum peperiksaan, dia terbabit kemalangan motosikal.
“Saya pada awalnya saya jangka dapat keputusan B ke bawah sebab menahan sakit ketika menjawab soalan. Alhamdulillah, saya dapat B untuk Matematik,” katanya.
Dia yang baru menamatkan perkhidmatan dan berpencen pada Disember 2025 itu turut merancang menduduk subjek Matematik, Sains dan Geografi pada tahun ini.
Untuk rekod, pada peperiksaan lalu, Hamidan berjaya meraih gred A bagi Matematik (2022), Sains B+ (2023) dan Matematik C (2024).










