KUALA LUMPUR: Perbicaraan hari pertama kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta membabitkan pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar ditangguhkan ke bulan Julai depan.
Perkara itu diputuskan mahkamah selepas pihak pembelaan memohon lanjutan masa bagi melengkapkan laporan audit kewangan syarikat.
Peguam bela kedua-dua tertuduh, Shaarvin Raaj berkata, pihaknya perlu menyerahkan sebanyak 12 jilid dokumen laporan audit kewangan kepada pihak juruaudit sebelum pernyataan pembelaan tertuduh dapat disediakan.
“Pihak kami memohon masa enam ke tujuh minggu bagi pihak juruaudit yang dilantik menyiapkan laporan audit kewangan dua syarikat milik pasangan itu iaitu FashionValet Sdn. Bhd. dan 30 Maple Sdn. Bhd.
“Tarikh bicara (dijadualkan sebelum ini) tidak dapat dijalankan memandangkan situasi dan alasan dinyatakan itu,” katanya semasa prosiding di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh baharu perbicaraan bermula pada 20 dan 24 Julai, 17 dan 18 Ogos, 16 dan 23 Oktober, 3, 20 dan 30 November, 17 dan 18 Disember serta 15, 28 dan 29 Januari 2027.
Pada masa sama, Shaarvin turut memohon mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara waktu bagi membolehkan pasangan itu membuat visa untuk menunaikan haji. Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut pada 21 Ogos 2018.-UTUSAN.










