Batal Majlis Rumah Terbuka DUN Titi Tinggi, kos penganjuran bantu keluarga Halimah - Utusan Malaysia

Batal Majlis Rumah Terbuka DUN Titi Tinggi, kos penganjuran bantu keluarga Halimah

Siti Nur Ain Abd Sanief (kanan) menunjukkan keadaan ibunya kepada Izizam Ibrahim di pejabat DUN Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi melancarkan tabung kutipan secara rasmi bagi membantu membawa pulang seorang warga emas dari Felda Lubuk Sireh, Halimah Ismail, 64, yang diserang strok semasa mengerjakan umrah di Madinah, Arab Saudi pada, Februari lalu.

ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim berkata, pihaknya mengambil inisiatif melancarkan tabung itu selepas Halimah dilaporkan terkandas ekoran mengalami masalah kesihatan.

Beliau berkata, langkah itu sebagai salah satu inisiatif khidmat masyarakat, malah orang ramai juga digalakkan membantu menyalurkan sumbangan kepada waris Halimah melalui tabung berkenaan.

“Saya amat memahami keadaan yang berlaku ini dan disebabkan itulah Pusat Khidmat DUN Titi Tinggi mengambil inisiatif bagi membantu Halimah yang turut merupakan penduduk dalam kawasan DUN Titi Tinggi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Izizam berkata, bagi membantu waris Halimah, beliau mengambil keputusan membatalkan pelaksanaan Majlis Rumah Terbuka DUN Titi Tinggi yang dijadual tidak lama lagi, malah segala kos penganjuran program berkenaan akan disalurkan ke tabung terlibat.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan kakitangan pusat khidmat dalam membantu mengurangkan bebanan ditanggung keluarga Halimah.

“Saya amat terkesan dengan situasi yang berlaku ini dan membayangkan seperti ibu sendiri. Jadi disebabkan itu kita buat keputusan untuk batalkan rumah terbuka dan semua peruntukan program itu akan disalurkan kepada waris Halimah,” katanya.

Beliau juga berharap agar syarikat-syarikat korporat di negara ini dapat tampil bagi menyalurkan bantuan dalam membantu mengurangkan bebanan ditanggung keluarga Halimah.

“Semoga usaha dilaksanakan ini dapat membantu dalam membawa pulang semula Halimah ke tanah air untuk bersama-sama keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB 7062689379 milik Siti Nur Ain Abd Sanief.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN