PETALING JAYA: Seorang anggota tentera dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dibelasah oleh seorang anggota lain di sebuah kem tentera di Bentong Pahang.
Anggota tentera dari Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) itu berusia 24 tahun dibelasah oleh anggota berpangkat koperal sewaktu mangsa diarahkan untuk membersih stor di kem berkenaan kira-kira pukul 8 malam kelmarin.
Mangsa seorang prebet mengalami kecederaan parah akibat ditumbuk di beberapa bahagian badan selain ditampar berkali-kali sehingga mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan seorang anggota tentera cedera parah kerana dipukul dalam kejadian yang dipercayai berlaku membabitkan anggota 25 RAMD di Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada pukul 8.45 pagi semalam.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Mac kira-kira pukul 8 malam dan laporan polis dibuat oleh bapa mangsa berusia 49 tahun.
“Siasatan awal mendapati seorang suspek iaitu anggota tentera berpangkat koperal dipercayai terbabit dalam kejadian dengan memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
“Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Zaiham berkata, seorang daripada mangsa berusia 24 tahun dilaporkan pengsan dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Tambahnya, mangsa lain sudah dirujuk ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan sekiranya terdapat sebarang kecederaan.
Beliau memberitahu, susulan kejadian itu, polis menahan anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun pada pukul 2.30 petang semalam bagi membantu siasatan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan perintah reman terhadap suspek diperoleh selama empat hari bermula hari ini hingga 4 April.-UTUSAN.










