Tiada maklum balas, MIC dianggap tolak sertai PN

Tiada maklum balas, MIC dianggap tolak sertai PN

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menganggap MIC telah menolak untuk menyertai gabungan itu selepas tidak memberikan sebarang maklum balas sebaik sahaja permohonan mereka diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada 14 Mac lalu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh yang panjang untuk sebarang jawapan rasmi dan akan membuat penilaian berdasarkan respons yang diterima.

“Kami tidak beri masa yang panjang. Itu terpulang kepada mereka, sama ada hendak membalas surat atau membuat kenyataan.

“Kalau tidak membalas surat tetapi mengesahkan melalui kenyataan kami anggap mereka menolak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas memberitahu, MIC telah mengemukakan surat rasmi bertarikh 15 November 2025 untuk menyertai PN.

Katanya, permohonan itu dibuat Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran kepada Pe­ngerusi PN ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Permohonan itu jelas malah menggunakan perkataan ‘diterima masuk semula’ kerana MIC menganggap mereka antara pengasas PN. Jika mereka mengatakan tidak memohon sila buktikan. Saya ada surat tersebut.

“Permohonan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat PN pada 9 Disember 2025 sebelum diluluskan. Keputusan itu kemudian disahkan dalam mesyuarat pada 14 Mac lalu sebelum surat tawaran rasmi dihantar kepada MIC pada 23 Mac.

“MIC menerusi mesyuarat­ Jawatankuasa Kerja Pusat (CW­C) pada 25 Mac memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut walaupun tiada maklum balas rasmi dikemukakan kepada PN,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, penolakan MIC untuk menyertai PN tidak memberi sebarang kesan kepada kekuatan gabungan berkenaan.

“Mereka sudah buat keputusan tidak mahu menerima. Tidak mahu terima tidak me­ngapa. MIC ini bukan ada 10 ahli Parlimen mereka hanya ada satu sahaja. Jadi tiada perbezaan.

“PN bukan untuk dijual. Sesiapa yang mahu memohon menjadi ahli, silakan. Siapa yang tidak mahu, boleh keluar. Itu prinsip kita,” katanya.

Media sebelum ini melapor­kan MIC belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk parti itu menyertai PN dan sebarang keputusan mengenainya hanya boleh ditentukan oleh Majlis Tertinggi parti itu.-MINGGUAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN