Sumbangan diperluas kepada 2,000 penerima setiap DUN pada 2027 - MB Perlis - Utusan Malaysia

Sumbangan diperluas kepada 2,000 penerima setiap DUN pada 2027 – MB Perlis

ABU Bakar Hamzah (dua dari kanan) dan Affendi Rajini Kanth (tiga dari kanan) menyerahkan apron kepada peniaga bersempena program walkabout bazar Ramadan MPK di bazar Ramadan Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukan sempena Program Sumbangan Aidilfitri 2026 yang bakal memanfaatkan sekitar 15,000 penerima dari 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.

Malah, sumbangan tersebut akan diperluas kepada 2,000 penerima setiap DUN pada 2027 yang sekali gus bakal membantu meringankan beban golongan memerlukan.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, program sumbangan duit raya tersebut telah bermula di DUN Titi Tinggi dan Beseri semalam dan DUN-DUN lain sehingga 18 Mac ini.

Katanya, setiap kawasan DUN melibatkan 1,000 penerima membabitkan kategori ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas, asnaf dan golongan B40.

“Daripada segi pendaftaran di setiap DUN berjalan lancar dengan Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) memantau daripada segi pemilihan melalui pusat-pusat khidmat bagi memastikan tiada golongan tercicir.

“Setiap DUN melibatkan 1,000 penerima dan keseluruhan 15,000 penerima bagi kesemua 15 DUN di negeri ini. Pada 2027, kita bakal perluaskan program sumbangan ini kepada 2,000 penerima setiap DUN,” katanya ketika ditemui pada program walkabout bazar Ramadan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di bazar Ramadan Arau di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Megat Hashirat Hassan dan Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth.

Abu Bakar berkata, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Perlis terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dan pelbagai program mengenainya termasuk imarah Ramadan telah dilaksanakan.

Sementara itu, menyentuh mengenai program walkabout bazar Ramadan, Abu Bakar berkata, hasil pemerhatian, beliau mendapati harga masih berpatutan dan kuasa membeli cukup tinggi.

Katanya, harga berpatutan itu didorong oleh sewa lot niaga yang dikenakan oleh MPK cukup rendah iaitu RM10 sehari atau RM300 sebulan sepanjang Ramadan.

Dalam tinjauan itu, beliau turut berkongsi rezeki dengan membeli pelbagai makanan dan minuman daripada para peniaga yang kemudian disumbang kepada pengunjung bazar tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN