RPM 2026-2035 langkah strategik rapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar - Utusan Malaysia

RPM 2026-2035 langkah strategik rapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar

SERUANDI Saad (empat dari kiri) bersama Syahirunnisa Ramli (tiga dari kiri) bergambar bersama selepas sidang akhbar di Kitchen Studio, Jalan Santan, Kangar, Perlis, semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 merupakan langkah strategik dalam memastikan sistem pendidikan negara terus relevan, inklusif dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global abad ke-21.

Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Negeri Perlis (Veteran MAYC) negeri, Seruandi Saad berkata, beberapa fokus utama yang diketengahkan menerusi rancangan ini amat disokong antaranya melibatkan usaha memperkukuh kualiti pendidikan melalui peningkatan kompetensi guru, inovasi pedagogi serta penggunaan teknologi digital dalam proses pembelajaran.

Beliau berkata, dalam era transformasi digital, keupayaan pelajar untuk menguasai kemahiran teknologi, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah adalah sangat penting.

“Selain itu, penekanan terhadap pendidikan lebih inklusif dan saksama amat disokong di mana kami percaya setiap pelajar tanpa mengira latar belakang geografi, sosioekonomi atau kemampuan fizikal berhak mendapat akses pendidikan berkualiti.

“Oleh itu, usaha ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar,” katanya pada sidang akhbar di Kitchen Studio, Jalan Santan, di sini, semalam.

RPM 2026-2035 yang dilancarkan pada awal Januari lalu menandakan kesediaan Malaysia untuk melangkah ke dekad seterusnya dengan satu lonjakan besar.

Seruandi berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melihat kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sebagai faktor penting dalam memastikan pendidikan bukan sahaja bersifat akademik namun membina kemahiran sebenar yang diperlukan oleh pasaran kerja.

“Selain itu, kami juga berharap pelaksanaan rancangan ini akan memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah, nilai kemanusiaan serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar agar generasi masa hadapan bukan sahaja cemerlang daripada segi intelektual tetapi juga bertanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Belia Negeri Perlis, Syahirunnisa Ramli berkata, inisiatif rancangan tersebut memerlukan penglibatan ramai pihak untuk bersama-sama menghulur bantuan buat kerajaan bagi menjayakan usaha tersebut.

Katanya, pihak NGO juga bersedia untuk memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan rancangan ini.

“Kami percaya penglibatan aktif masyarakat sivil dalam program pendidikan, latihan kemahiran, kesedaran komuniti dan pembangunan belia mampu memperkukuh impak dasar yang dirangka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN