Remuk hati ibu tiga anak dibunuh tidak terubat

Remuk hati ibu tiga anak dibunuh tidak terubat

SITI Aishah Ariffin (kanan) dan Rusdi Rani menunjukan gambar kenangan tiga anaknya yang dibunuh 13 tahun lalu ketika ditemui di Kuala Terengganu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Walaupun sudah 13 tahun berlalu namun hati seorang ibu yang hancur tidak sedikit pun terubat apatah lagi melupakan kejadian tragis tiga anaknya dibunuh.

Bagi Siti Aishah Ariffin, 53, dan suaminya, Rusdi Rani, 51, kedatangan Syawal setiap tahun disambut dalam suasana suram sejak kehilangan tiga anak mereka itu pada 2013.

Pasangan itu kehilangan anak sulung mereka yang ketika itu berusia 14 tahun, anak kedua 12 tahun dan anak bongsu berusia tiga tahun dalam kejadian yang menggemparkan negara lebih sedekad lalu.

Siti Aishah berkata, kenangan bersama tiga permata hatinya itu masih segar dalam ingatan dan tidak pernah lekang daripada fikirannya walaupun masa beredar.

Katanya, jika diberi peluang bersemuka dengan pelaku ha­nya satu persoalan yang ingin ditanyakan mengapa anak-anaknya menjadi mangsa.

“Saya mahu tanya depan muka dia, sebab apa bunuh semua anak kami. Memang tragedi itu sudah 13 tahun berlalu tetapi mana mungkin saya dan suami dapat lupakan semua itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, setiap kali tiba Ramadan dan Syawal, perasaan rindu dan hiba terhadap anak-anak semakin kuat sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Jika mereka masih ada, pasti kami sibuk membuat persiapan raya, beli baju dan kasut raya. Sekarang hanya tinggal ber­dua,” katanya.

Katanya, dia dan suaminya membuat keputusan memulakan kehidupan baharu dengan meninggalkan Kedah dan berpindah ke Kampung Baru Tok Dor, Besut, dekat sini pada 2015.

Pada 30 November 2013, negara digemparkan dengan penemuan mayat Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di sebuah sawah terbiar di Kampung Alor Senibong, Langgar, Kedah.

Selepas 24 jam kemudian, mayat dua adiknya iaitu Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, pula ditemukan di dalam terusan MADA di Kampung Padang Petani, Alor Semela.

Pada 2015, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Mohd. Firdaus Mohd Faridul yang ketika itu berusia 20 tahun selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Berkongsi pengalaman sepanjang prosiding mahkamah yang berlangsung hampir dua tahun, Siti Aishah tidak pernah berpeluang bersemuka dengan tertuduh apatah lagi menerima permohonan maaf daripada keluarganya.

Bagaimanapun, persoalan yang tersimpan lama di hati seorang ibu itu akhirnya terkubur begitu sahaja tanpa jawapan apabila dimaklumkan tertuduh dilaporkan meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu, selepas mendapat pembebasan awal dari penjara.

“Sepanjang prosiding, saya tidak pernah jumpa tertuduh. Keluarga dia pun tidak pernah datang minta maaf. Hanya selepas dia keluar penjara dan meninggal dunia baru-baru ini, barulah ibunya datang berjumpa saya untuk memohon maaf,” katanya.

Menurutnya, individu tersebut sebenarnya merupakan jiran mereka sendiri ketika mereka tinggal di Kedah.

“Mereka tinggal hanya selang tiga buah rumah dari rumah kami,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN