PNSB melangkah lebih jauh - Utusan Malaysia

PNSB melangkah lebih jauh

MAJLIS pelancaran identiti korporat baharu PNSB di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bersedia melangkah lebih jauh selaras dengan pelancaran identiti korporat baharu sebagai simbol transformasi hala tuju dan kematangan organisasi dalam memacu pembangunan ekonomi negeri Selangor.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

Pelancaran identiti baharu itu menandakan kesediaan PNSB melangkah lebih jauh sebagai salah satu pemacu utama kecemerlangan di bawah kerangka Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, perubahan tersebut melambangkan fasa kematangan organisasi berkenaan.

“Identiti baharu ini adalah penanda aras tranformasi strategik kami selepas 35 tahun beroperasi. Ia merupakan janji PNSB untuk terus berinovasi dan mencipta nilai jangka panjang demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau turut menekankan komitmen PNSB dalam memperkukuh kecekapan operasi dan
kepelbagaian portfolio.

“PNSB kini mengadaptasi teknologi melalui konsep Smart Office dan integrasi AI bagi meningkatkan produktiviti. Selain memperkasakan mandat perumahan rakyat melalui projek Rumah Idaman, kami kini mengorak langkah berani meneroka sektor berimpak tinggi seperti industri aeroangkasa dan pengurusan dana modal teroka (VC) bagi menjamin kemampanan ekonomi masa hadapan,” katanya.

Amirudin pula menzahirkan keyakinan terhadap peranan strategik PNSB.

“Identiti korporat baharu ini adalah pernyataan keyakinan bahawa PNSB bersedia untuk menjadi penanda aras pembangunan negeri Selangor. Apa yang dibina atau dilabur hari ini akan menjadi warisan Selangor pada masa hadapan,” katanya.

Pelancaran tersebut turut disusuli dengan pengenalan pelan perniagaan strategik lima tahun PNSB yang dikenali sebagai SHIFT30, bertujuan untuk mempelbagai sumber pendapatan dan memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

Sebagai rekod, PNSB merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan Negeri Selangor di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Sebagai sebuah organisasi milik kerajaan negeri, PNSB memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah sebagai perniagaan utamanya, membangunkan hartanah kediaman dan komersial serta kawasan perumahan dan perbandaran yang mampan serta mampu milik di Selangor dan Lembah Klang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN