SEREMBAN: Syarikat insurans dan agensi pelancongan di negeri ini disaran menganjurkan lebih banyak latihan berkaitan penjagaan kesihatan ketika melancong kepada kakitangan mereka dan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, ini kerana kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kesihatan sebelum melakukan perjalanan masih berada pada tahap rendah.
Katanya, terdapat kes yang mana rakyat yang pergi melancong ke luar negara tiba-tiba menghadapi masalah kesihatan hingga memerlukan rawatan intensif serta perbelanjaan yang besar.
“Situasi ini dapat dicegah jika mereka mengambil vaksin tertentu dan membeli insurans sebelum pergi ke luar negara.
“Saranan yang sama turut meliputi pelancong dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Travel Health and One-Stop Vaccination Service oleh Columbia Asia Hospital Seremban di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Hospital Seremban, Alice Chong.
Nicole Tan memberitahu, bagi melaksanakan program latihan itu, pihak yang berkenaan boleh memanfaatkan dana dari Human Resource Development Corporation (HRD Corp.) yang mengutip levi daripada majikan.
“Saya difahamkan tahun lalu terdapat dana sebanyak RM4 juta di HRD Corp yang tidak dimanfaatkan untuk menganjurkan latihan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan negeri tidak menerima aduan berkaitan kesan perang di Asia Barat terhadap aktiviti pelancongan di negeri ini.
“Secara jujur saya tidak menerima apa-apa aduan daripada industri pelancongan. Bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau perkembangan daripada semasa ke semasa,” katanya.-UTUSAN.









