KANGAR: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2026 sebanyak RM1,500 secara one-off bagi semua penjawat awam di Perlis.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pemberian itu melibatkan lantikan tetap, kontrak, sementara dan MySTEP.
Katanya, pembayaran BKKA akan mula dilaksanakan pada 13 Mac ini.
Beliau berkata, pemberian sumbangan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan dalam meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Selain itu, sumbangan ini juga diharapkan dapat menyuntik semangat dan meningkatkan prestasi kerja seluruh penjawat awam negeri agar terus memberikan khidmat jasa serta sumbang bakti kepada seluruh rakyat Perlis.
“Pemberian ini adalah bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan penjawat awam negeri agar terus memberi perkhidmatan yang cemerlang demi rakyat negeri ini,” katanya pada perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri Perlis bilangan 2 2026 di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata, kerajaan negeri melalui PLANMalaysia Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) serta lain-lain agensi telah menyediakan dokumen Perlis Pintar 2030 yang merupakan satu keperluan yang mendesak pada masa kini.
Katanya, dunia hari ini sedang bergerak pantas melalui revolusi digital dan teknologi pintar.
“Justeru, Perlis perlu bergerak seiring dengan perkembangan ini agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global.
“Konsep Bandar Pintar menjelang tahun 2030 bukan semata-mata berkaitan penggunaan teknologi canggih, tetapi lebih penting bagaimana teknologi dimanfaatkan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan pembangunan lebih mampan dan inklusif,” katanya.-UTUSAN










