BACHOK: Seorang penghulu didenda RM1,000 dan dipenjara selama dua minggu oleh Mahkamah Majistret Bachok selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita warga emas di Kampung Pauh Sembilan disini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, lelaki berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut semasa perbicaraan yang berlansung di Mahkamah Majistret Bachok di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi pada Sabtu lalu semasa mangsa datang ke kedai runcit milik suspek untuk mengecop borang permohonan bantuan.
“Penghulu itu kemudian ditahan reman empat hari bermula Ahad lalu untuk membantu siasatan.
“Suspek dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, hukuman penjara selama dua minggu itu bermula dari tarikh tangkapan penghulu tersebut pada Ahad lalu.
Terdahulu tular seorang penghulu didakwa mencabul wanita semasa mendapatkan cop dan tandatangan pengesahan di rumah pemimpin berkenaan dua hari lalu.-UTUSAN










