KOTA BHARU: Golongan ibu bapa disaran memberi perhatian serius terhadap keselamatan anak-anak dengan mengehadkan aktiviti luar sepanjang sambutan Aidilfitri bagi mengelakkan risiko serangan strok haba susulan cuaca panas yang dijangka berterusan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Rohani Ibrahim berkata, hal ini kerana golongan berkenaan mudah terdedah dengan risiko sekiranya berada di luar rumah terlalu lama semasa mengunjungi rumah terbuka.
“Pantau pergerakan anak-anak dan hadkan aktiviti luar. Kita bimbang mereka terdedah kepada strok haba yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Selain itu, ibu bapa perlu pastikan pengambilan air dalam kalangan anak-anak mencukupi bagi memastikan tubuh kekal terhidrat, terutama dalam keadaan suhu yang meningkat,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kota Bharu Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rohani turut mengingatkan kepada penduduk di negeri ini supaya menjaga kesihatan sepanjang musim panas melanda.
“Dalam cuaca panas ini, rakyat digalakkan minum lebih banyak air daripada kebiasaan bagi menggantikan kehilangan cecair dalam badan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rohani mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap risiko kebakaran yang boleh berlaku akibat cuaca kering dan panas.
Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan dengan segera bertindak sekiranya berlaku kebakaran tanpa hanya bergantung kepada pihak berkuasa.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi memantau perkembangan fenomena El Nino serta menyalurkan maklumat terkini kepada rakyat,” ujarnya.-UTUSAN











