TEMERLOH: Perlu memanjat setinggi 15 meter pokok kabung setiap hari bukan penghalang buat seorang anak muda dari Kampung Paya Sok, Kuala Krau di sini, untuk mendapatkan manisan nira kabung yang menerima permintaan tinggi sepanjang Ramadan.
Muhamad Hafizzudin Norashikin, 30, berkata, dia tidak banyak memikirkan soal risiko ketika memanjat pokok kabung yang tinggi biarpun terpaksa berdepan ancaman tebuan, lebah, ular dan haiwan berbisa lain.
“Kalau takut memang kerja ini tidak jadi. Setiap kali panjat ada risiko tetapi saya anggap sebagai cabaran. Pokok kabung yang tumbuh liar di sekitar kampung ini menjadi sumber rezeki saya.
“Tanpa pekerja, saya membina sendiri sigai, tangga khas untuk memanjat sebelum mengetuk dan mengayun tandan bunga setiap pagi dan petang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Muhamad Hafizzudin berkata, proses menyadap atau mengerat pula bukan sehari dua, sebaliknya tandan perlu diketuk berulang kali sehingga matang sebelum ditetak bagi mengalirkan nira.
Kadangkala, anak muda itu berkata, dia mengamalkan petua orang lama dengan bernyanyi perlahan-lahan ketika memukul tandan.
Menurutnya, setiap tandan mampu menghasilkan sehingga 25 liter nira sehari dan cecair jernih berwarna perang dikategorikan sebagai gred A iaitu paling berkualiti serta digemari pelanggan.
“Selain dijual segar pada harga RM5 bagi botol 500 mililiter, sebahagian nira diproses menjadi gula kabung melalui kaedah tradisional dengan memasaknya sehingga pekat sebelum dibentuk menjadi ketulan.
“Bulan puasa permintaan memang tinggi. Peniaga kuih cari gula kabung untuk hasilkan pelbagai kuih tradisional,” ujarnya yang mampu menghasilkan 40 hingga 50 botol sehari.
Katanya, nira segar boleh disimpan lebih dua minggu dalam peti ais manakala pembekuan membolehkannya tahan berbulan-bulan lamanya tanpa menjejaskan rasa.-UTUSAN.










