PARIS: Kementerian Kesihatan Perancis mengesahkan lebih 15 juta rekod perubatan dan butiran pentadbiran digodam, dalam kejadian keselamatan siber terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas pegawai memberi amaran butiran 1.2 juta akaun bank di Perancis turut digodam menggunakan kelayakan seorang pegawai.
Menurut saluran televisyen France 2, ahli politik tertinggi negara adalah antara berjuta-juta yang terjejas dan butiran tersebut kini boleh diakses secara dalam talian.
Beberapa maklumat sensitif yang bocor melibatkan status kesihatan pesakit, termasuk butiran sama ada individu itu menghidap AIDS atau homoseksual.
Kementerian berkata, pencerobohan data yang berlaku pada akhir 2025 melibatkan maklumat daripada kira-kira 1,500 klinik perubatan yang menggunakan perisian daripada syarikat Cegedim Sante.
Kebocoran data itu kebanyakannya melibatkan nama pesakit, nombor telefon dan alamat, tetapi bagi 169,000 pesakit terdapat nota doktor yang sebahagiannya mungkin mengandungi data sensitif.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan tiada preskripsi atau keputusan pemeriksaan biologi yang terlibat. Cegedim Sante membuat laporan jenayah berhubung penggodaman itu pada Oktober tahun lalu.
Syarikat itu berkata, kebocoran tersebut melibatkan kira-kira 1,500 doktor daripada 3,800 pengguna perisian berkenaan.
Pakar keselamatan siber di Wavestone, Gerome Billois berkata, kebocoran itu mungkin terbesar di Perancis dalam sektor kesihatan dan boleh membawa akibat yang tidak boleh diperbaiki.
“Apabila maklumat kesihatan menyatakan ‘Anda menghidap AIDS’ atau ‘anda menghidap penyakit tertentu’ tersebar, ia tidak boleh ditarik balik,” kata Billois kepada AFP.
18 Februari lalu, Kementerian Kewangan Perancis mengumumkan seorang penggodam menceroboh pangkalan data bank negara dan mengakses maklumat 1.2 juta akaun.
Kementerian memaklumkan, penggodam itu menggunakan kelayakan yang dicuri seorang pegawai untuk mengakses butiran termasuk nombor akaun, nama pemegang dan alamat.- AFP










