PETALING JAYA: Kerajaan dicadang melaksana rasionalisasi subsidi petrol lebih luas sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi ketidaktentuan ekonomi susulan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penstrukturan semula subsidi boleh dilakukan dengan mengekalkan perlindungan kepada golongan yang memerlukan bergantung kepada jumlah pendapatan bulanan.
Katanya, pendekatan ini dapat membantu kerajaan mengekalkan kestabilan fiskal tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, sambil memberi ruang kepada kerajaan menyesuaikan dasar apabila keadaan geopolitik kembali stabil.
“Selain itu, kerajaan perlu mewujudkan pelan kontigensi ekonomi, ekoran konflik yang berlaku pada masa ini berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global, rantaian bekalan serta sentimen pelabur.
“Pelan kontigensi penting bagi membolehkan kerajaan bertindak pantas melalui instrumen fiskal, monetari dan dasar perdagangan sekiranya berlaku kejutan harga atau ketidaktentuan ekonomi global,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam
Ahmed Razman berkata, menerusi pelan kontigensi itu, kerajaan perlu memperkukuh rizab fiskal bagi memastikan kestabilan sistem kewangan di samping mempelbagaikan sumber import tenaga dan makanan bagi menangani kesan ekoran konflik berkenaan.
Menurutnya, perdagangan intra-ASEAN melalui ASEAN juga perlu diperkukuhkan dengan memperluas rantaian bekalan serantau bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan perdagangan berisiko.
“Pada masa sama, dasar ekonomi yang konsisten dan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui perlu dipercepatkan bagi mengekalkan keyakinan pelabur,” jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Malaysia mampu mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter sehingga dua bulan ekoran ketidaktentuan harga minyak global akibat serangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Anwar berkata, konflik Asia Barat dan penutupan berpanjangan Selat Hormuz berpotensi mencetuskan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Beliau dalam masa yang sama berkata, kerajaan akan cuba mencari jalan untuk mempertahankan harga minyak RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga minyak mentah Brent kini melebihi jangkaan yang dibuat semasa Belanjawan 2026 iaitu sekitar AS$60 ke AS$65 setong.
Katanya, peperangan di Asia Barat ketika ini antara faktor harga minyak mentah berada di paras melebihi AS$92.69 setong.
“Justeru, terdapat keperluan untuk membuat pelarasan subsidi sedia ada terutamanya bagi mereka yang berpendapatan tinggi.
“Memandangkan rasionalisasi subsidi RON95 yang menggunakan MyKad telah berjaya dilaksanakan dengan baik maka sudah tiba masanya kerajaan menyelaraskan subsidi mengikut pendapatan rakyat.
“Ia bertujuan memastikan hanya mereka yang layak sahaja menerima bantuan subsidi iaitu golongan berpendapatan rendah dan menengah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya ia tidak dilaksanakan, kerajaan perlu menambah peruntukan subsidi dan ia akan menjejas sasaran untuk mengecilkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.
“Saya jangkakan subsidi bersasar mengikut tahap pendapatan tidak membebankan rakyat kerana mereka yang berpendapatan tinggi tidak perlu diberi subsidi. Namun kebimbanganya adalah peniaga mungkin akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang.
“Justeru, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan perdagangan perlu dijalankan dengan lebih tuntas bagi mengelakkan kenaikan harga barang melampau,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, beberapa sektor terutama pengangkutan, penerbangan, pembuatan berintensif tenaga dan pertanian berisiko terjejas akibat kos bahan api yang meningkat.
Justeru katanya, kerajaan digesa memberi insentif sementara untuk kos operasi kritikal, mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu, serta menyediakan pinjaman mudah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menampung kos tenaga.
“Di samping itu, kerajaan juga perlu bijak mengurus risiko ketidakstabilan harga tenaga. Kita mempunyai buffer (penampan) sederhana kerana eksport tenaga memberi hasil tambahan, namun negara masih mengimport sebahagian produk petroleum bertapis. Keadaan ini menyebabkan kos tenaga meningkat dan memberi tekanan kepada inflasi domestik.
“Maka adalah lebih baik kita menyimpan stok bahan api strategik serta mempelbagaikan sumber import untuk mengelakkan sebarang gangguan bekalan, sekaligus mengekalkan kestabilan pasaran tenaga dan ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN










