KOTA BHARU: Penularan tuberkulosis (tibi) di negara ini menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah kes yang direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-7 tahun ini menurun sebanyak 65 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 417 kes dicatatkan pada ME7 tahun ini berbanding 482 kes bagi tempoh sama tahun 2025.
Katanya, perkembangan itu memberi petanda positif terhadap keberkesanan langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.
“Alhamdulillah, setakat ini tiada kluster baharu dilaporkan dan kes juga menunjukkan trend penurunan.
“Kita harap ia akan terus konsisten,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Perdana di Masjid Al-Husna, di sini hari ini.
Dr Dzulkefly menegaskan, walaupun angka menunjukkan penurunan, KKM tidak akan berkompromi dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan jangkitan dapat dikawal sepenuhnya.
Katanya, usaha memperluas saringan awal dalam kalangan kumpulan berisiko serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera akan terus diperkasa.
“Oleh itu, kita menyeru orang ramai yang mempunyai gejala supaya tampil menjalani pemeriksaan dan memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan momentum penurunan kes dapat dikekalkan, sekali gus menyokong agenda negara ke arah penghapusan tibi sebagai ancaman kesihatan awam,” ujarnya.-UTUSAN










