Kerja dari rumah tidak beri kesan penjimatan operasi

Kerja dari rumah tidak beri kesan penjimatan operasi

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan kerja dari rumah tidak memberi kesan penjimatan apabila hanya melibatkan sebahagian kecil daripada keseluruhan kos operasi bagi sesebuah syarikat.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan sektor masih bergantung kepada bahan mentah, logistik, gaji pekerja dan tenaga dalam pro­ses pengeluaran sebagai kos utama.

Katanya, walaupun kaedah kerja dari rumah berpotensi mengurangkan penggunaan elektrik di pejabat, kos tenaga tersebut pada hakikatnya beralih kepada pekerja yang bekerja dari rumah.

“Kerja dari rumah tidak semestinya membawa kepada pengurangan sebenar dalam kos penggunaan elektrik secara keseluruhan dalam ekonomi negara.

“Malah, bagi sektor yang memerlukan operasi fizikal seperti pembuatan, logistik, hospitaliti dan peruncitan, kerja dari rumah tidak memberi kesan langsung kepada penjimatan penggunaan tenaga operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas cadangan beberapa pihak supaya pengaturan bekerja dari rumah diperluaskan bagi menghadapi ketidaktentuan global selain mengurangkan pergerakan harian rakyat.

Langkah itu sekali gus menjimatkan penggunaan petrol serta mengurangkan tekanan terhadap subsidi bahan api, khususnya RON95.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani sebelum ini berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz akan meneliti cadangan bekerja dari rumah bagi sektor awam.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan perlu meneliti kelemahan yang wujud dalam sektor tersebut apabila pelaksanaan kerja dari rumah dilaksanakan khususnya dalam aspek disiplin kakitangan dan pengurusan masa kerja.

Katanya, sektor kerajaan perlu menjadikan contoh majikan swasta yang telah melaksanakan amalan kerja dari rumah dengan lebih fleksibel dengan menambah elemen tertentu sebagai nilai tambah demi memastikan komitmen setiap pekerja mencapai tahap terbaik.

“Dalam sektor swasta, ada pekerja tidak ikut waktu asal dan biasanya tempoh masa bekerja lebih dari waktu biasa. Ini perkara komitmen yang perlu ada dalam pelaksanaan kerja dalam rumah.

“Ini antara kerajaan perlu lihat terutama dalam menyentuh aspek disiplin kakitangan,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN