PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah bagi sektor awam sebagai langkah menjimatkan penggunaan minyak dan tenaga susulan ketegangan geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.
Perkara itu antara yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di sini semalam.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan tersebut akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung pada Selasa depan.
“Beberapa ikhtiar sedang diteliti. Perdana Menteri sudah meminta Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk meneliti cadangan bekerja dari rumah atau work from home bagi memastikan beberapa perkara terselaras.
“Ini adalah untuk sektor awam dan hasil daripada perbincangan itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat (Kabinet) insya-Allah pada Selasa depan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini, Wan Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah merupakan antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan.
Ia dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Katanya, pengalaman Malaysia ketika pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa sektor awam mampu menyesuaikan diri dengan cepat melalui penggunaan teknologi dan kaedah kerja baharu.
Bagaimanapun ujarnya, pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel perlu dilaksanakan secara seimbang serta bergantung kepada kesesuaian fungsi sesuatu perkhidmatan.
Sepanjang minggu lalu, kerajaan beberapa buah negara di Asia seperti Vietnam, Pakistan, Thailand dan Filipina telah mengeluarkan beberapa arahan yang menggalakkan aturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah, kerja empat hari seminggu dan menggunakan tangga berbanding lif.
Di Thailand, semua penjawat awam telah diarahkan untuk bekerja dari rumah bermula Selasa lalu namun pengecualian kepada pegawai yang perlu berkhidmat kepada orang awam.
Kementerian Industri dan Perdagangan Vietnam pula menggesa individu dan perniagaan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu memastikan keselamatan tenaga negara.
“Usaha bersama untuk menjimatkan bahan api adalah penting. Jika boleh, pengaturan kerja jarak jauh juga boleh membantu mengurangkan keperluan perjalanan dan penggunaan pengangkutan,” kata kementerian itu.
Pada 10 Mac lalu, Perdana Menteri Pakistan, Shehba Sharif turut mengumumkan langkah-langkah penjimatan termasuk sebanyak 50 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah secara bergilir-gilir dan mencadangkan pengaturan yang sama bagi sektor swasta.
Universiti dan institusi pendidikan tinggi di negara itu juga diarahkan untuk beralih kepada kelas dalam talian bagi menjimatkan bahan api.
Arahan itu sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan tenaga ketika ketegangan di Asia Barat khususnya di Selat Hormuz telah menjejaskan bekalan tenaga global.
Iran telah mengambil tindakan menyekat selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas wilayah negara itu sejak dua minggu lalu.
Sekatan itu selain serangan ke atas kapal komersial oleh Iran juga telah mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan gas dan minyak antarabangsa dalam tempoh panjang.
Dikatakan, kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melintasi selat sepanjang 167 kilometer dan 33 kilometer lebar itu.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, Perdana Menteri juga telah mengarahkan semua kementerian supaya melakukan sesi libat urus bersama industri di bawah kementerian masing-masing bagi mendapatkan maklum balas kesan pergolakan di Asia Barat.
“Hasil daripada sesi-sesi libat urus itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa ini.
“Wakil-wakil industri juga akan dijemput melakukan pembentangan bagi pihak industri masing-masing pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang,” katanya.-UTUSAN.











