KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan permudahkan proses pengesahan dan pendaftaran rakyat negeri ini yang bernikah di Thailand bagi memastikan masa depan anak-anak pasangan terlibat, khususnya dari segi pendidikan dan dokumen rasmi, lebih terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, beberapa penambahbaikan terhadap prosedur itu sudah dilakukan sejak kira-kira tiga tahun lalu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).
Katanya, langkah tersebut bertujuan mempermudah urusan pasangan yang telah berkahwin di negara jiran itu supaya status pernikahan mereka dapat disahkan dengan lebih cepat dan teratur.
“Bagi pernikahan yang telah berlaku di Thailand, kerajaan negeri mengambil pendekatan memudahkan proses pengesahan secara kes demi kes.
“Hal ini kerana kita tidak mahu ia memberikan kesan pada masa depan anak-anak, termasuk dari segi persekolahan dan pendidikan mereka serta dokumen pengenalan diri yang rasmi,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu perkahwinan rakyat negeri ini yang bernikah di Thailand.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Iftar Perdana Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bersama Media Kelantan di sini malam tadi.
Mohd. Asri memberitahu, proses pengesahan perkahwinan yang dikemukakan kepada pihak jabatan agama biasanya boleh diselesaikan dalam tempoh antara sebulan hingga dua bulan.
Bagaimanapun, beliau berkata, proses itu bergantung kepada pematuhan prosedur yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri menegaskan kerajaan negeri tidak berniat menggalakkan rakyat Kelantan berkahwin di luar negara.
Katanya, hal ini kerana kemudahan perkahwinan di negeri ini sudah tersedia dan mudah diakses.
Utusan Malaysia 7 Februari lalu melaporkan, rakyat negara ini diminta berfikir panjang sebelum mengambil keputusan berkahwin di luar negara terutama di Thailand kerana ia turut membabitkan nasab seorang anak sekiranya tidak didaftarkan di Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, ia bukan perkara baharu dan agensi-agensi keagamaan berkaitan telah melaksanakan banyak inisiatif untuk mengekang perkara ini daripada terus berlaku.-UTUSAN










