Hospital wakaf dibina di Kajang

Hospital wakaf dibina di Kajang

MARHAMAH Rosli menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena program Singgah Sahur Bulan Wakaf Malaysia di Pantai Kundor, Melaka, semalam. – UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hospital wakaf pertama di negara ini bakal dibina di Kajang, Selangor dengan kos dianggarkan RM270 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, projek tersebut kini dalam fasa awal pembinaan dan dijangka dimulakan sepenuhnya selepas Ramadan.

Menurut beliau, hospital wakaf itu dibangunkan melalui inisiatif wakaf tunai yang dige­rakkan oleh Yayasan Wakaf Malaysia sebagai usaha memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat.

“Hospital wakaf pertama ini akan dibina di Selangor dengan anggaran kos RM270 juta dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula selepas Ramadan.

“Inisiatif ini menunjukkan bahawa wakaf bukan sekadar sumbangan biasa, tetapi mampu membangunkan aset besar yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program singgah sahur sempena Bulan Wakaf Malaysia yang turut melibatkan sumbangan bakul makanan kepada lapan keluarga kurang berkemampuan di sekitar Pantai Kundor, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia menyertai wakaf tunai walaupun dengan jumlah kecil.

“Sekiranya sejuta penjawat awam membuat potongan gaji sebanyak RM10 sebulan untuk wakaf, jumlah itu sudah mencecah RM10 juta sebulan.

“Dalam tempoh setahun sahaja, jumlahnya boleh mence­cah lebih RM100 juta dan dalam masa kira-kira dua tahun kita sudah mampu membina sebuah hospital wakaf,” ujarnya.

Menurut beliau, konsep wakaf tidak terhad kepada golongan berada kerana sesiapa sahaja boleh berwakaf walaupun serendah RM5 melalui pelbagai platform termasuk Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) dan aplikasi Wakaf yang dilancarkan pada 1 Ramadan lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN