PADANG BESAR: Sebelum ini, suami yang berkorban dengan mengabdikan seluruh jiwanya menjaga isteri, Norhaslinda Mohd Jusoh,51, yang menderita kanser pangkal rahim tahap tiga.
Takdir menentukan, ketika penyakit Norhaslida semakin pulih, suaminya, Zulkeple Muhammad yang pergi dahulu mengadap Ilahi di usia 59 tahun pada Disember tahun lalu kerana turut berdepan kanser.
Pemergian suami membuatkan Aidilfitri tahun ini bagi Norhaslinda dan anak-anak hilang seri tanpa kehadiran insan tersayang yang selama ini banyak berkorban demi keluarga tercinta.
Norhaslinda berkata, arwah suami sentiasa mengutamakan anak-anak tiap kali Aidilfitri bagi memastikan mereka sekurang-kurangnya mempunyai sepasang baju raya meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Katanya, kebiasaan, arwah suami menjadi individu paling sibuk memastikan persiapan mereka mencukupi setiap kali musim perayaan.
“Suami juga sentiasa meminta dua anak yang bekerja di Segamat, Johor dan Pulau Pinang untuk pulang bercuti ke kampung bagi menyambut perayaan bersama keluarga. Kami mempunyai dua anak lelaki berusia 34 dan 33 tahun yang bekerja di luar dan kami turut mengambil seorang anak angkat perempuan berusia sembilan tahun yang masih bersekolah.
“Selalunya (arwah suami) menjadi insan paling sibuk setiap kali raya untuk pastikan semua persiapan mencukupi, namun tahun ini, Aidifiltri kami sudah tidak lagi semeriah dulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di RPA Padang Besar di sini semalam.
Norhaslinda berkata, terdahulu pada Julai 2022, dia telah disahkan mengidap kanser pangkal rahim tahap tiga dan sepanjang menjalani rawatan, arwah suami merupakan individu penting yang banyak memberi sokongan moral serta membantu proses pemulihannya.
Ujarnya, selepas menjalani pembedahan dan kitaran rawatan kimoterapi pada Mei tahun lalu, sel kansernya itu dikatakan tidak lagi aktif namun mereka sekeluarga dikejutkan apabila suami pula disahkan mengidap kanser prostat tahap empat.
“Waktu itu, kami sememangnya sangat terkejut kerana lepas saya makin pulih, arwah suami pula diuji dengan sakit kanser walaupun ahli keluarga tiada sejarah mengidap penyakit itu. Sejak itu, suami tidak lagi dapat meneruskan kerja sebagai pemandu e-hailing dan hanya terlantar dengan menjalani prosedur rawatan ditetapkan.
“Memang kami tidak sangka sebab selama ini dia yang banyak bantu bagi semangat kepada saya untuk kuat lawan sakit ini, tapi kemudian dia pula diuji dengan kanser prostat. Kanser itu menyerang organ dalaman dengan begitu cepat sehinggakan dia tidak mampu berjalan malah turut berada dalam keadaan lemah.
“Saya sangat hiba, dia yang bertungkus lumus menjaga saya dan anak, namun tidak sangka lepas saya semakin pulih, dia pula diuji kanser. Saya mendapat kekuatan sebab kami saling memberi sokongan antara satu sama lain malah dia juga sentiasa berfikiran positif dalam setiap ujian menimpa,” kata suri rumah itu.-UTUSAN










