NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengeluarkan Barisan Al-Nusra, kumpulan yang berkembang menjadi Hayat Tahrir al-Sham (HTS), daripada Senarai Sekatan Daesh dan Al-Qaeda.
Langkah itu menandakan perubahan besar dalam dasar antarabangsa terhadap landskap politik Syria yang semakin berkembang era pasca pemerintahan rejim Bashar al-Assad dan menamatkan pembekuan aset global, larangan perjalanan serta embargo senjata ke atas kumpulan itu sejak 2014.
Barisan Al-Nusra dan Hayat Tahrir al-Sham dipimpin oleh Ahmad Al-Sharaa, yang kini menjadi Presiden Syria dan tokoh utama dalam serangan menggulingkan rejim Bashar.
Keputusan konsensus jawatankuasa sekatan Majlis Keselamatan diumumkan oleh United Kingdom (UK), yang memegang jawatan presiden bulan ini dan bertindak tanpa kehadiran pengerusi jawatankuasa tersebut.
Ia susulan permintaan pihak berkuasa Syria yang baharu untuk mengeluarkan Barisan Al-Nusra daripada senarai berkenaan.
Keputusan itu bermakna langkah-langkah yang dikenakan ke atas Hayat Tahrir al-Sham di bawah Resolusi Majlis Keselamatan 2734, diluluskan pada 2024, tidak lagi terpakai.
Negara anggota PBB kini tidak diwajibkan untuk membekukan dana kumpulan itu, mengehadkan pergerakan wakilnya atau menyekat pembekalan atau pemindahan senjata dan bahan berkaitan.
Barisan Al-Nusra dimasukkan ke dalam senarai sekatan kerana hubungan kumpulan Al-Qaeda serta penglibatan dalam pembiayaan dan pelaksanaan aktiviti bersenjata semasa perang di Syria.
Al-Sharaa berkata, kumpulan itu memutuskan semua hubungan jihad transnasional terdahulu dan kini hanya menumpukan perhatian kepada isu tempatan di Syria.- AGENSI










