Harga bahan binaan dijangka naik 40 peratus

Harga bahan binaan dijangka naik 40 peratus

TUKIMAN RADION
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga bahan binaan dijangka naik sehingga 40 peratus selepas musim perayaan ini susulan kenaikan kos minyak diesel perindustrian yang kini mencecah hampir RM4 seliter.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia, Tukiman Radion berkata, kenaikan mendadak kos luar jangka itu mencetuskan kebimbangan besar dalam industri pembinaan, khususnya bagi kontraktor kelas G1 hingga G4 yang mempunyai margin keuntungan kecil.

“Peningkatan kos pengangkutan logistik telah memberi kesan rantaian secara langsung kepada pelbagai bahan asas pembinaan seperti simen, cat, papan lapis, pintu hinggalah ke komponen kecil seperti paku dan skru.

“Sebagai contoh, kos untuk pengisian penuh tangki jentera atau kenderaan kini mencecah sehingga RM200 berbanding RM150 sebelum ini manakala harga simen untuk satu beg pula kini mencecah sehingga RM26 berbanding RM7 sebelum ini.

“Harga bahan binaan yang telah meningkat kebiasaannya sukar untuk turun semula biarpun kos bahan bakar di pasaran dunia kembali pulih pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, kos pembinaan yang tinggi ini pada akhirnya terpaksa diserap dan dipindahkan kepada pengguna.

“Peningkatan kos pembinaan secara langsung akan menyebabkan harga jualan rumah baharu dan kadar sewaan me­lonjak naik, lantas membebankan rakyat yang belum memiliki kediaman.

Sehubungan itu, Tukiman menggesa kerajaan untuk menyemak semula nilai kontrak projek kerajaan menerusi pelaksanaan perluasan Klausa Perubahan Harga (Variation of Price – VOP) dengan kadar segera.

“VOP amat kritikal dilaksana­kan sebagai situasi menang-menang sementara menunggu Jadual Kadar Harga (JKH) yang baharu.

“Proses pengeluaran JKH biasanya memakan masa sehingga setahun dan kontraktor akan menanggung kerugian besar atau berisiko disenaraihitamkan.

“Sebagai penyelesaian, sistem apungan harga bahan binaan wajar dilaksanakan agar sebarang kenaikan kos pasaran dapat diserap terus ke dalam peruntukan projek secara automatik,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN