KANGAR: Sebanyak 61.842 kilogram ganja dianggar bernilai RM188,007.20 berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri dalam tiga operasi berasingan awal bulan ini.
Rampasan berkenaan melibatkan serbuan di kawasan sempadan darat dan perairan negeri ini.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, dalam operasi pertama, pasukan penguatkuasa menjalankan serbuan di kawasan pintu sempadan Malaysia–Thailand di Padang Besar pada pukul 10 malam, 3 Mac lalu.
Katanya, pemeriksaan menemukan satu bungkusan yang diletakkan bersama timbunan sampah bagi mengelirukan pihak berkuasa sebelum dikesan oleh unit anjing pengesan dadah.
“Bungkusan tersebut mengandungi sembilan ketulan mampat kanabis seberat 10.812 kilogram dengan nilai RM33,517.20 dan dianggarkan untuk kira-kira 20,000 pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kastam negeri, di sini, hari ini.
Ismail berkata, bagi kes kedua, pasukan operasi berjaya mengesan kelibat dua lelaki pada 5 Mac lalu kira-kira pukul 1.30 pagi di kawasan perairan berhampiran sempadan antarabangsa dengan jarak sekitar 600 meter.
Katanya, suspek yang terserempak dengan pasukan operasi kemudian bertindak melarikan diri ke arah Thailand sebelum mencampakkan bungkusan ke dalam laut.
“Hasil pemeriksaan pada bungkusan itu menemukan sebanyak 20.20 kg kanabis dengan nilai RM62,000 dan dianggarkan dapat digunakan oleh kira-kira 40,000 pengguna,” katanya.
Ujar Ismail, kes ketiga pula melibatkan rampasan 30.83 kg kanabis bernilai RM92,490 yang ditemukan di sekitar kawasan ponton rosak di Pulau Batu Layang, Kuala Perlis, kira-kira pukul 10.30 malam hari sama.
Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan meninggalkan kotak berisi dadah di lokasi berkenaan bagi mengelak dikesan.
“Bekalan dadah yang dirampas menerusi operasi ini dianggarkan dapat memenuhi bekalan untuk kira-kira 60,000 penagih,” kataya.
Katanya, semua kes berkenaan masih disiasat di bawah Bahagian 1, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras jenayah penyeludupan dadah,” katanya.-UTUSAN










