Dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

Dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena Aidilfitri

DUA juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.-GAMBAR FAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menganggarkan sebanyak 2 juta kenderaan akan masuk ke negeri ini melalui tiga laluan masuk iaitu Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarahnya Mohd. Misuari Abdullah berkata, jumlah itu mengambil kira sta statistik yang telah direkodkan sepanjang tahun sebelum-sebelum ini.

Katanya, JPJ Kelantan mengalu-alukan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan terutamanya di laluan Gua Musang.

“Sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA), kita (JPJ Kelantan) menggerakkan seramai 187 anggota penguat kuasa untuk melakukan pemantauan bagi memastikan aliran trafik lancar sepanjang tempoh tersebut.

“JPJ turut melakukan rondaan melibatkan jalan persekutuan dan negeri dengan tumpuan kepada 10 koridor utama trafik serta 38 kawasan ‘blackspot’ kemalangan berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau lokasi kamera AWAS di Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu, hadapan Istana Negeri di sini hari ini.

Mohd. Misuari memberitahu, Jalan Kuala Krai–Gua Musang, Pasir Puteh–Kuala Terengganu serta laluan Jeli-Gerik (Perak) antara lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan.

Katanya, JPJ Kelantan juga akan menggunakan dron bagi memantau aliran trafik serta mengesan kesalahan pengguna jalan raya dari udara.

“Bagi kesalahan yang dirakam, pemilik kenderaan akan menerima Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Misuari berkata, beberapa kaedah penguatkuasaan akan digunakan sepanjang HRA termasuk rondaan beruniform, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa logo serta sebagai penumpang bas ekspres.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN