Baju Melayu Muhamad Zarif jadi pengubat rindu

Baju Melayu Muhamad Zarif jadi pengubat rindu

SITI Hajar Ismail melihat baju Melayu yang sering dipakai Allahyarham Muhamad Zarif Mohd. Hazahari ketika dia ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/ ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: “Kalau terlalu rindu, saya duduk di dalam bilik dan mencium baju arwah.”

Demikian kongsi Siti Hajar Ismail, 42, ibu kepada Allahyarham Muhamad Zarif Mohd. Hazahari, 5, yang meninggal dunia selepas dihanyutkan ombak besar di Pantai Sauh, Batu Rakit, pada 9 Januari lalu.

Siti Hajar berkata, kerinduan terhadap anak kelimanya itu kerap datang tanpa diduga sehingga kadangkala membuatkan dirinya menangis sendirian di rumah.

“Kalau seorang diri, saya mesti teringat arwah. Kadangkala saya sibukkan diri menjahit baju supaya tidak terlalu melayan perasaan. Bila rindu sangat, saya cium baju-bajunya. Arwah suka pakai baju Melayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Rakit, di sini.

Menurutnya, bayangan arwah yang ceria dan suka bercerita masih segar dalam ingatannya.

“Arwah suka bermain bola dan berkawan dengan rakan-rakan abangnya. Orang di masjid pun kenal Muhamad Zarif sebab dia selalu ikut bapanya ke masjid. Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dia paling teruja hendak beli bunga api,” katanya.

Siti Hajar berkata, setiap Jumaat dia menziarahi pusara anaknya itu bagi melepaskan rindu.

“Awal Ramadan baru-baru ini pun saya ada bermimpi tentang arwah. Bila rindu, saya tengok gambar dan video dia. Memang banyak video sebab arwah paling banyak ragam,” katanya.

Menurutnya, anak bongsunya, Muhamad Huzair, 3, juga sering mengingatkannya kepada Allahyarham Muhamad Zarif ke­rana banyak persamaan daripada segi tingkah laku.

Berkongsi detik sebelum kejadian meragut nyawa anaknya itu, Siti Hajar berkata, ketika itu dia berada di rumah dan melihat Muhamad Zarif bermain di hadapan rumah sebelum mengikut ibu saudaranya, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, serta beberapa sepupu lain ke pantai.

“Adik saya ada hantar video di dalam kumpulan WhatsApp keluarga menunjukkan Muhamad Zarif sedang bermain air di pantai dan nampak dia sangat teruja. Tidak lama selepas itu, adik te­lefon beritahu dia sudah diha­nyutkan ombak,” katanya.

Siti Hajar berkata, anak sulungnya, Mohamad Hadif, 17, bergegas ke pantai dan melihat usaha orang ramai yang cuba menyelamatkan mangsa, namun ombak ketika itu terlalu besar.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, dia hanya mampu menggagahkan diri walaupun dalam keadaan menggigil dan lemah.

“Apabila mayat arwah ditemukan, keadaannya seperti sedang tidur,” katanya sebak.

Menurutnya, keluarganya tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian tersebut ke­rana memahami ia berlaku tanpa diduga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang pada 9 Januari lalu, Muhamad Zarif dilaporkan hilang selepas dihanyutkan ombak besar ketika berada di Pantai Sauh.

Selepas setengah jam berada di kawasan pantai, mangsa dikatakan ke gigi air sebelum secara tiba-tiba dihanyutkan ombak.

Mangsa ditemukan meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi pada 10 Januari, iaitu kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.

Video detik-detik terakhir yang memaparkan Allahyarham sebelum ditarik ombak menjadi viral dalam media sosial.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×