AS, Israel terus hancurkan Iran

AS, Israel terus hancurkan Iran

LETUPAN berlaku akibat serangan AS-Israel di Teheran kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus melancarkan serangan untuk menghancurkan Iran semalam, dengan jet-jet pejuangnya menyerang lima kemudahan minyak berhampiran bandar ini, mengorban­kan sekurang-kurangnya em­pat orang setakat ini.

Jet-jet pejuang AS dan Israel menyerang depot simpa­nan minyak dan kemudahan pe­napisan di Teheran buat pertama kali sehingga mencetuskan kebakaran besar di ibu negara itu.

Rejim Zionis Israel turut me­ngeluarkan amaran keras baha­wa pihaknya akan memburu dan menyerang mana-mana individu yang dilantik sebagai pengganti Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Amaran terbuka itu dibuat oleh jurucakap tentera Israel (IDF), Daniel Hagari, yang menegaskan bahawa operasi ketenteraan mereka tidak akan terhenti setakat kematian Kha­menei, sebaliknya akan dite­rus­kan terhadap sesiapa sahaja yang mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi di Teheran.

Hagari dalam satu kenya­taan rasmi menjelaskan, Israel memandang setiap calon pengganti kepimpinan Iran sebagai ancaman terus kepada keselamatan rejim itu dan ke­stabilan serantau.

Beliau turut menyifatkan sis­tem pemerintahan Iran sebagai punca utama konflik di Asia Barat dan berikrar untuk melumpuhkan sebarang usaha Teheran menyusun semula ke­kuatan ketenteraan mereka di bawah teraju ke­pimpinan baharu.

Presiden AS, Donald Trump pula berkata, beliau tidak berminat untuk berunding de­ngan Iran dan membayangkan bahawa perang hanya akan berakhir apabila Teheran tidak lagi mempunyai tentera atau kepimpinan ‘ulama’ yang masih berkuasa.

Bercakap kepada wartawan di atas pesawat rasminya, Air Force One, Trump berkata, kempen serangan udara itu boleh menjadikan rundingan tidak lagi relevan jika semua pemimpin berpotensi Iran terbunuh dan tenteranya dimusnahkan.

Sementara itu, menurut Ga­benor Teheran, Mohammad Sa­degh Motamedian, pengagihan bahan api di ibu negara Iran itu terganggu buat sementara waktu selepas serangan tersebut.

“Disebabkan kerosakan pada rangkaian bekalan bahan api, pengagihan telah terganggu buat sementara waktu. Masalah itu sedang diselesaikan,” katanya dipetik oleh agensi be­rita rasmi Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA).

Asap daripada kebakaran semalaman menyelubungi ibu negara, membentuk jerebu gelap di seluruh bandar ketika pagi menjelma, kata wartawan AFP.

Penduduk melaporkan bau hangit masih berlegar di udara, dengan ramai menyatakan suasana kelihatan gelap walaupun matahari telah terbit dan hujan turun di bandar tersebut.

“Semalam, (kelmarin), empat depot minyak dan sebuah pusat pengangkutan produk petroleum di Teheran dan wilayah Alborz telah diserang oleh pesawat musuh.

“Empat kakitangan kami, ter­masuk dua pemandu lori tang­ki minyak, terbunuh dalam kejadian itu,” kata Ke­tua Pegawai Eksekutif Syarikat Pengedaran Produk Petroleum Nasional Iran, Keramat Veyskarami kepada stesen televisyen negara.

Veyskarami berkata, depot minyak Iran bagaimanapun mempunyai rizab petrol yang mencukupi.

Persatuan Palang Merah ber­­kata, letupan di depot mi­nyak itu melepaskan ke udara sejumlah besar sebatian hidrokarbon toksik, sulfur dan oksida nitrogen.

“Sekiranya berlaku hujan, air hujan yang terhasil adalah amat berbahaya dan sangat berasid,” menurut kenyataan persatuan itu dan memberi amaran risiko melecur pada kulit dan kerosakan paru-paru yang serius.

Pihak berkuasa alam sekitar Iran menggesa rakyat Iran supaya kekal berada dalam ba­ngunan bagi mengelak ma­salah pernafasan dan kesan ke­sihatan lain. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN