KANGAR: Seramai 54 meliputi 1.67 peratus calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Perlis meraih semua A.
Bagaimanapun, ia menunjukkan penurunan berbanding 89 calon memperolehi semua A dalam keputusan SPM tahun sebelum itu.
Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, secara keseluruhan, prestasi mata pelajaran SPM 2025 di negeri ini menunjukkan peningkatan bagi 21 daripada 47 mata pelajaran.
Beliau berkata, 24 mata pelajaran lain menunjukkan penurunan manakala satu mata pelajaran tidak berubah berbanding SPM 2024 berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).
“Seramai 11 calon bekeperluan Pendidikan Khas (CBPK) di negeri ini turut layak dianugerahkan sijil SPM 2025 berbanding 17 pada SPM 2024. Nilai Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2025 bagi negeri ini juga adalah sebanyak 4.67 mata berbanding 4.57 mata pada SPM 2024 dengan pengecilan sebanyak 0.10 mata,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan GPN, jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar juga semakin mengecil sebanyak 0.80 mata.
Katanya, pengecilan jurang itu disokong oleh intervensi-intervensi prasarana, guru opsyen, kecukupan guru dan guru-guru cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar.
“Pelaksanaan SPM 2025 juga dalam situasi banjir malah pelbagai kisah suka duka dilakar sepanjang minggu pertama peperiksaan itu,” katanya.
Katanya, Jabatan Pendidikan negeri menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang berusaha memastikan perjalanan peperiksaan SPM 2025 berjalan dengan lancar biar pun diuji dengan bencana banjir.
“Secara keseluruhan, analisis keputusan peperiksaan SPM 2025 menunjukkan pencapaian calon yang memberangsangkan sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal bermutu, inklusif dan adil,” katanya.-UTUSAN










