PADANG BESAR: Seramai 160 penerima dalam kalangan asnaf dan golongan memerlukan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi menerima sumbangan dari syarikat Perlis Dolomite Industries (PDI) Sdn. Bhd. dalam satu majlis di Masjid Solahuddin Al Ayubbi di sini baru-baru ini.
Program sumbangan zakat itu turut mendapat kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; Yayasan Islam Perlis dan Pejabat Tanah dan Galian Perlis.
Para penerima mendapat sumbangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, garam, tepung, kuih raya, susu, sardin, bihun dan pelbagai lagi berjumlah RM200 termasuk sumbangan duit raya RM50.
Sumbangan disampaikan oleh Izizam; Pengurus Operasi syarikat PDI, Fairol Hisham Mohd Azhar dan Pengarah Yayasan Islam Perlis, Noorhamizi Mohd. Yaakob. Hadir sama, Pengurus syarikat PDI, Yong Norita Ahmad.
Selain itu, Maahad Tahfiz Darul Muhajirin Litahfizil Quran Darul Kampung Padang Telela, Pauh turut menerima sumbangan RM10,000.
Sementara itu, Izizam berkata, sumbangan tersebut telah disalurkan kepada golongan memerlukan antaranya pesara, asnaf dan ahli jawatankuasa masjid.
“Alhamdulillah, program sumbangan Ramadan bersama syarikat PDI dengan kerjasama Yayasan Islam Perlis, Jabatan Tanah dan Galian dan Pusat Khidmat DUN Titi Tinggi berlangsung dengan jayanya.
“Semoga bantuan yang dihulurkan itu dapat meringankan beban penerima serta membawa keberkatan buat semua sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.-UTUSAN










