BACHOK: Lebih 1,500 daripada 6,000 penagih di seluruh yang berada di 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) memilih untuk menjalani rawatan pemulihan secara sukarela.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, individu yang berbuat demikian dan menjalani proses pemulihan selepas dua tahun itu tidak akan mempunyai sebarang rekod jenayah.
Katanya, usaha itu hasil pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang diluluskan di Parlimen sebelum ini.
“Kalau masuk secara sukarela, nama mereka tidak akan ada dalam rekod jenayah. Kita dikriminalisasikan mereka.
“Bila mereka datang sendiri untuk dirawat, separuh daripada tugas kita sudah selesai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersahur Sempena Program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Puspen Bachok di sini hari ini.
Saifuddin Nasution memberitahu, objektif utama pindaan tersebut adalah untuk mengubah stigma masyarakat terhadap penagih dadah daripada dilihat sebagai penjenayah kepada pesakit yang memerlukan rawatan.
“Stigma penjenayah dan pesakit tidak sama. Kalau kita mahu mereka tampil secara sukarela, kita mesti beri keyakinan bahawa mereka tidak akan dihukum,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, tahap keberkesanan program pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Puspen mencecah hampir 80 peratus berdasarkan kepada statistik pengulangan klien masuk semula ke pusat tersebut selepas sesi pemulihan.
Katanya, AADK akan meneruskan pemantauan kepada klien selepas tamat pemilihan melalui dua kaedah itu mereka ditempatkan di dalam institusi dan komuniti.
“Daripada jumlah keseluruhan klien tamat sesi pemulihan, lebih 6,000 individu berada dalam institusi manakala 50,000 hingga 60,000 berada dalam komuniti,” ujarnya.-UTUSAN










