WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trumpm secara rasmi menandatangani Rang Undang-Undang (RUU) Perbelanjaan pada Selasa, sekali gus menamatkan penutupan sebahagian operasi kerajaan persekutuan selama empat hari.
Krisis itu sebelum ini dicetuskan oleh bantahan pihak Demokrat terhadap pembiayaan agensi persekutuan yang melaksanakan tindakan keras berhubung isu imigresen.
Perundangan tersebut dibawa ke meja Trump di Rumah Putih selepas diluluskan oleh Dewan Perwakilan yang dikuasai Republikan dengan keputusan tipis 217-214 pada awal hari yang sama.
Seramai 21 ahli Demokrat menyertai Republikan dalam menyokong pakej pembiayaan tersebut, manakala jumlah ahli Republikan yang sama menentangnya kerana enggan memenuhi tuntutan Demokrat untuk memperkasakan reformasi dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Rundingan dana baharu untuk DHS sebelum ini dilaporkan menemui jalan buntu susulan insiden pembunuhan dua warga AS oleh ejen persekutuan di Minneapolis. Bandar di Minnesota itu kini menjadi titik tumpuan kepada tindakan keras imigresen oleh Trump.
Pada 30 Januari, Senat meluluskan pakej yang merangkumi lima RUU pembiayaan tertunggak bagi menampung kebanyakan agensi persekutuan sehingga September, bersama langkah sementara selama dua minggu untuk memastikan DHS terus beroperasi sementara penggubal undang-undang merundingkan polisi penguatkuasaan imigresen.
Trump, yang sebelum ini menerajui penutupan kerajaan paling lama dalam sejarah selama 43 hari pada musim panas lalu, telah mendesak ahli Republikan untuk menerima RUU Perbelanjaan ini bagi menamatkan penutupan yang bermula pada 31 Januari.
“RUU ini merupakan kemenangan besar buat rakyat AS,” kata Trump semasa majlis menandatangani dokumen tersebut di Rumah Putih.
“Berbanding ‘monstrocity’ omnibus yang membazir dan penuh dengan kepentingan khas, kita telah berjaya meluluskan pakej yang bertanggungjawab secara fiskal. Ia mengurangkan perbelanjaan persekutuan yang membazir sambil menyokong program kritikal demi keselamatan dan kemakmuran rakyat,” tambahnya.
Sebelum undian dijalankan, ahli Demokrat di Dewan Perwakilan menuntut perubahan dalam cara DHS mengendalikan operasi imigresen susulan laporan mengenai penggunaan ejen bersenjata berat, bertopeng, dan tidak dikenali yang menahan individu tanpa waran.
Beberapa konsesi telah dibuat di bawah tekanan Demokrat dan kemarahan nasional selepas ejen menembak mati Renee Good, seorang ibu kepada tiga anak, serta Alex Pretti, seorang jururawat yang bekerja dengan veteran tentera di Minneapolis pada Januari.
Sebagai respons, Setiausaha DHS, Kristi Noem pada Isnin menyatakan bahawa ejen persekutuan di bandar tersebut diwajibkan memakai kamera badan berkuat kuasa serta-merta, langkah yang akan diperluaskan ke seluruh negara. -AGENSI










