WASHINGTON: Presiden Donald Trump berikrar untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua import ke Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung yang membatalkan dasar ekonomi utamanya.
Mahkamah tertinggi majoriti konservatif itu memutuskan undang-undang 1977 yang dikenali sebagai Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), digunakan Trump tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif.
Trump, yang melantik dua daripada hakim menolaknya, membidas keputusan berkenaan dan mendakwa tanpa sebarang bukti mahkamah dipengaruhi kepentingan asing.
“Saya malu dengan sesetengah ahli mahkamah, benar-benar malu, kerana tidak mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul untuk negara,” kata Trump kepada pemberita.
Trump menegaskan untuk menggunakan kuasa berasingan bagi mengenakan tarif seragam sebanyak 10 peratus, selepas setahun lalu mengenakan kadar berbeza secara mengejut bagi memujuk serta menghukum negara lain.
“Untuk melindungi negara kita, seorang presiden sebenarnya boleh mengenakan tarif yang lebih tinggi daripada yang saya kenakan sebelum ini,” katanya sambil menegaskan keputusan itu menjadikan beliau ‘lebih berkuasa’.
Mahkamah pada Jumaat berkata, sekiranya Kongres berhasrat memberikan kuasa tersendiri dan luar biasa untuk mengenakan tarif menerusi IEEPA, ia pasti akan menyatakannya secara jelas, seperti dilakukan secara konsisten dalam undang-undang tarif lain.
Keputusan itu tidak memberi kesan kepada duti khusus sektor yang dikenakan secara berasingan oleh Trump ke atas import keluli, aluminium dan pelbagai barangan lain.
Beberapa siasatan kerajaan yang berpotensi membawa kepada lebih banyak tarif sektoral juga masih dijalankan.
Namun, ia merupakan kekalahan terbesar Trump di Mahkamah Agung AS sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada 2025.
Walaupun Trump sekian lama menggunakan tarif sebagai alat tekanan diplomatik dan rundingan, beliau memanfaatkan kuasa ekonomi kecemasan yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam penggal kedua untuk mengenakan duti baharu ke atas hampir semua rakan dagang AS.
Ini termasuk tarif timbal balik terhadap amalan perdagangan yang dianggap Washington sebagai tidak adil, selain set duti berasingan menyasarkan rakan dagang utama iaitu Mexico, Kanada dan China berhubung aliran dadah haram serta isu imigresen.- AFP










