GUA MUSANG: Tokong Kuan Tai Meow di Kampung Baru di sini, menjadi medan menyatukan komuniti apabila menghimpunkan seramai 1,500 komuniti Cina pelbagai peringkat usia semalam.
Majlis yang dimulakan dengan upacara sembahyang, jamuan makan dan penyampaian sumbangan itu turut meraikan lebih 500 warga emas sempena kedatangan Tahun Baharu Cina.
Setiausaha Tokong Kuan Tai Meow, Tham Choon Yew, 57, berkata, program berkenaan menjadi amalan tradisi mengikut Kalendar Lunar pihak tokong sejak sekian lama bagi menghimpunkan masyarakat Cina termasuk golongan warga emas supaya tidak terpinggir dalam menyambut perayaan.
“Pada setiap 16 hari bulan 12 Kalendar Lunar, sembahyang berkat kembali diadakan sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan kerana memberi keselamatan dan kebahagiaan kesihatan kepada kami semua.
“Selain itu, aktiviti ramah mesra bersama warga emas dan jamuan makan secara sekampung diadakan di tokong ini,” katanya spada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Emas Kaum Tionghua sempena Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, sambutan sangat menggalakkan dengan penyertaan komuniti yang hadir secara berkumpulan dalam setiap aktiviti dianjurkan tokong.
Katanya, pada program berkenaan lebih 500 orang warga emas berumur 62 tahun sehingga lebih 90 tahun dihimpunkan.-UTUSAN.









