NARATHIWAT (THAILAND): Tiga orang awam yang menaiki sebuah kereta cedera apabila bahan letupan buatan sendiri (IED) yang ditanam di atas jalan raya meletup di Daerah Rueso, dekat sini, petang ini.
Dalam kejadian pukul 3.19 petang itu, mangsa yang cedera Pattaweekarn Waseng, 43, Ahwang Waseng, 67, dan Mariam Masamae, 73.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, IED terbabit dipercayai ditanam oleh kumpulan pemisah dengan menyasarkan anggota unit rondaan Batalion ke-3, Pasukan Petugas Renjer Ke-46.
Katanya, bagaimanapun ia telah mengenai kenderaan awam.
“Susulan kejadian itu, pasukan keselamatan, termasuk polis, tentera, dan pegawai pentadbiran tempatan sudah mengepung kawasan tersebut.
“Tindakan itu bagu memudahkan operasi unit pelupusan IED,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber ISOC memberitahu, pihak berkuasa sedang mengumpul bukti dan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan siasatan lebih lanjut dijalankan.-UTUSAN










