KUBANG PASU: Thailand kekal menjadi destinasi pilihan rakyat negara ini untuk bercuti khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan yang bermula semalam.
Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, mendapati kesesakan luar biasa apabila orang ramai mula menghala ke negara jiran itu sejak awal pagi.
Difahamkan, kesesakan berlaku seawal pukul 6 pagi sebaik pintu sempadan dibuka kepada pengembara bagi urusan dokumentasi dengan laluan kenderaan persendirian menjadi paling sesak.
Jurucakap Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam memaklumkan, keadaan trafik di Kompleks ICQS berkenaan sesak sejak awal pagi khususnya di laluan keluar menuju ke Thailand.
“Kesesakan melibatkan kenderaan persendirian dan dijangka berterusan bergantung kepada aliran semasa. Bagaimanapun, laluan masuk ke Malaysia masih terkawal dan pergerakan trafik lancar setakat ini.
“Orang ramai yang merancang untuk melancong ke Thailand dinasihatkan mengatur perjalanan lebih awal, memilih masa sesuai serta memastikan dokumen perjalanan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, seorang pengembara, Shahril Yusuf, 37, berkata kesesakan merupakan perkara biasa ketika melalui proses dokumentasi untuk ke Thailand.
“Jika membawa kenderaan sendiri, biasanya mengambil masa dua hingga tiga jam pada musim cuti seperti ini berbanding hari biasa yang tidak sampai 30 minit untuk melintas sempadan.
“Namun saya anggap perkara ini lumrah kerana waktu cuti dan hujung minggu sahaja kami berpeluang berkunjung ke sana walaupun menetap di Kedah,” katanya.
Bagi Teng Hoo Wah, 46, dia bersama isteri serta dua anak mereka merancang bercuti di Hat Yai sehingga Isnin ini sebelum pulang menyambut Tahun Baharu Cina pada Selasa depan.
“Percutian ke Hat Yai atau selatan Thailand boleh dibuat dalam tempoh singkat tanpa perlu mengambil cuti panjang. Kali ini saya memilih sebelum Tahun Baharu Cina supaya dapat membeli kelengkapan perayaan di sana.
“Saya sudah menjangka kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao. Namun ia tidak dapat dielakkan kerana melibatkan urusan pengisytiharan kenderaan persendirian yang dibawa masuk,” katanya.-UTUSAN.










