KANGAR: Kerajaan negeri diharap terus istiqamah dalam memperkasakan penghayatan al-Quran sebagai teras pembinaan ummah demi melahirkan umat Islam berjati diri dan berteraskan nilai rabbani.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, keaslian al-Quran terpelihara hingga hari kiamat dan menjadi teras pembinaan ‘Insan Rabbani Bestari’ berpaksikan kebenaran mutlak.
Titah baginda, mukjizat tauhid melalui surah al-Ikhlas turut menegaskan keagungan Allah SWT sebagai asas pembentukan peribadi rabbani.
“Selain itu, al-Quran juga merupakan perlembagaan agung yang bersifat sejagat, membimbing umat mengurus kehidupan dan mentadbir masyarakat dengan adil, berintegriti serta berhikmah,” titah baginda selepas berkenan merasmikan Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran 2026/1447H Peringkat negeri di Dewan Warisan di sini.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.
Johan qari tilawah dimenangi oleh Muhammad Anas Abdul Hadi manakala Norsyafirah Jusoh pula dinobatkan sebagai johan qariah.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, sijil, plak, hadiah iringan dan kurnian daripada Raja Perlis serta Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, mukjizat Sains dan alam dalam al-Quran turut membuktikan Islam menjunjung kecemerlangan ilmu, mengilhamkan manusia agar berfikir, mengkaji dan mentadbir alam mengikut syariat Allah SWT.
“Oleh demikian, marilah kita menjadikan majlis ini sebagai titik tolak untuk membudayakan interaksi dengan al-Quran secara istiqamah, khususnya dalam menyambut Ramadan yang bakal tiba melalui pemantapan bacaan dan tadabbur,” titah baginda.-UTUSAN










