RANTAU PANJANG: Taktik licik sindiket menyeludup lembu pada waktu sahur bagi mengaburi pihak berkuasa tidak berhasil apabila cubaan membawa masuk 32 ekor lembu dari Thailand berjaya dipatahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 5.15 pagi itu, TDM turut menahan tiga lelaki masing-masing berusia 36 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, semasa melakukan rondaan rutin, sepasukan anggota telah mengesan tujuh lelaki sedang membawa lembu menyeberangi tebing dari Thailand ke Malaysia melalui Sungai Golok.
Katanya, sebuah lori yang dipercayai untuk mengangkut haiwan berkenaan turut dikesan berada di lokasi semasa serbuan dilakukan.
“Seramai 10 lelaki yang sedang menunggu untuk membantu proses pemindahan lembu-lembu turut berada di lokasi.
“Anggota TDM kemudian bertindak mengepung kawasan tersebut dan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan. Bagaimanapun, beberapa individu lain sempat melarikan diri dengan terjun ke Sungai Golok dan menyeberang semula ke Thailand bagi mengelakan ditahan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, TDM sebuah lori jenis Isuzu, Proton Saga serta lima buah motosikal yang dipercayai digunakan oleh sindiket penyeludupan.
Katanya, kesemua rampasan termasuk haiwan dan kenderaan dianggarkan bernilai RM448,350.
“Susulan itu, laporan polis berhubung rampasan itu telah dibuat di Balai Polis Lubok Stol dan kesemua haiwan ternakan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang untuk tindakan lanjut
“Kes disiasat oleh Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” ujarnya.-UTUSAN










